Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 20, 2015

KUANTAN: PESALAH TRAFIK DITAHAN


Seorang pesalah trafik ditahan


Seorang pesalah trafik berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu sekatan jalan raya yang diadakan di Jalan Batu Tiga Kuantan- Gambang, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Keten-teraman Awam/Ketua Trafik Pejabat Polis Daerah Kuantan , Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal berkata, penahanan lelaki itu membuktikan pihak polis bersungguh-sungguh menangkap pesalah trafik dikenakan waran tangkap berikutan kegagalan mereka melunaskan saman trafik.

“Ikut rekod pesalah ini telah di saman kerana tidak mempunyai lesen memandu dan lesen perdagangan.

“Pesalah di bawa ke balai trafik bagi tindakan lanjut dan akan didakwa di mahkamah,” katanya selepas mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Batu Tiga Kuantan bersama 10 anggota termasuk pegawai.

Dalam pada itu, Ahmad Nazri berkata 10 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas seperti tidak memiliki lesen memandu dan cukai kenderaan tamat tempoh.

Jelasnya, kebanyakan pesalah menggunakan alasan sama iaitu lupa membayar lesen dan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Nazri berkata, Trafik Cawangan Kuantan memburu 73 individu melalui waran tangkap yang dikeluarkan kerana gagal melangsaikan saman kenderaan mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, melalui Ops warta berkenaan, anggota dan pegawai trafik akan mencari individu berkenaan di premis dan melalui sekatan jalan raya.

“Bagaimanapun, untuk hari ini (semalam), kesemua individu yang disenaraikan tidak ada di tempat kerja dan majikan memaklumkan mereka sudah bertukar lokasi kerja dan ada juga diberhentikan kerja,” katanya.

Beliau berkata, Ops warta semalam membabitkan enam individu di lima premis perniagaan dan satu di sebuah syarikat.

Ahmad Nazri berkata, pihaknya akan terus berusaha memastikan individu yang melanggar undang-undang itu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Kita akan teruskan usaha melalui sekatan jalan raya bagi memburu individu yang sudah dikeluarkan waran tangkap,” katanya.

0 comments:

share2