Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 20, 2015

KUANTAN: NELAYAN PUNCA IKAN TERDAMPAR?


Nelayan punca ikan terdampar?


Fenomena aneh ikan mati dan terdampar di kawasan peranginan Teluk Cempedak sejak semalam dipercayai berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab nelayan yang membuang hasil tangkapan di tengah laut sebelum dibawa ombak ke pantai.

Tinjauan di pantai mendapati banyak ikan gelama, senangin dan pelbagai jenis spesies ikan mati serta terdampar di kawasan peranginan tersebut.

Malah, turut kelihatan beberapa pekerja dari Syarikat Alam Flora Sdn Bhd sibuk melakukan pembersihan bagi membolehkan orang ramai bersantai dan melakukan aktiviti di pantai itu.

Salah seorang pekerja Alam Flora yang menyelia kawasan berkenaan, Zulkifli Bidin, 50, tidak menolak andaian bahawa kejadian ini berpunca daripada sikap nelayan yang membuang ikan kecil di tengah laut.

Katanya, ini kali kedua berlaku di kawasan ini dan kebanyakan penduduk di kawasan pantai mendakwa sudah biasa dengan fenomena ini.

“Ini mungkin disebabkan tempat simpanan ikan untuk kapal nelayan sudah penuh menyebabkan mereka membuang ikan kecil yang tidak diperlukan ke dalam laut.

“Apabila air pasang, ikan tersebut terdampar di persisiran pantai akibat dipukul ombak,” katanya.

Zulkifli menolak dakwaan bahawa ikan mati yang terdampar di kawasan pantai itu disebabkan sisa bahan mineral seperti bauksit berikutan laut merah di sekitar Pantai Tanjung Gelang seminggu lalu.

“Bagi saya tak mungkin kerana jarak antara pantai Tanjung Gelang dengan Teluk Cempedak agak jauh. Kalau betul itu puncanya semestinya di kawasan pesisiran pantai itu turut mengalami kejadian sama,” katanya.

Sementara itu, pekerja Alam Flora yang mahu dikenali dengan panggilan Ghazali juga menganggap kejadian itu adalah berpunca daripada tindakan nelayan yang bertindak membuang ikan di tengah laut.

“Setakat ini saya belum mendengar rakan-rakan nelayan di sekitar Berserah dan Balok mengalami kejadian yang sama.

"Jika ia disebabkan oleh air laut yang panas, sudah pasti fenomena turut terjadi di sana.

“Lagipun jumlah ikan yang terdampar ini bagi saya tidaklah terlalu banyak kerana hanya bertaburan di sepanjang pantai sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, dia mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan menyiasat perkara ini bagi mengelak pelbagai spekulasi ditimbulkan orang ramai.

0 comments:

share2