Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 24, 2015

KUANTAN: PENGORBANAN DUA BERADIK MISKIN


Pengorbanan dua beradik miskin


Dua beradik sanggup mengorbankan masa bermain semata-mata ingin mencari rezeki membantu keluarga dengan hanya menjual buah keranji di hadapan sebuah pasar raya di bandar ini.

Selepas pulang dari sekolah, dua beradik itu, Syed Putra Ramadhan Al-Idrus Syed Mohd Ridzuan, 12, bersama abangnya, Syed Putra Malik Al-Idrus, 13, akan duduk berniaga sambil mengulang kaji pelajaran sehingga jam 10 malam.

Mereka terpaksa memikul tanggungjawab berat itu selepas bapanya, Syed Mohd Ridzuan Syed Abdul Wahab, 43, yang menghidap penyakit jantung kronik sering jatuh sakit dan tidak mampu bekerja manakala ibunya, Azlina Othman, 40, terpaksa menjaga lima adik mereka berusia lapan bulan hingga 10 tahun.

Azlina berkata, kehidupan mereka berubah selepas kedai makan mereka di Gebeng, terpaksa dirobohkan pada 2007.

Malah katanya, perniagaan buah-buahan yang diusahakan terpaksa ditutup berikutan gagal menjelaskan sewa tertunggak.

“Suami disahkan menghidap penyakit itu pada 2007 dan pernah menjalani pembedahan pada tahun sama. Tapi sampai sekarang, kesihatan dia makin teruk dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Atas faktor kesihatan, suami tak boleh nak bekerja, terpaksalah kami sekeluarga bergantung pada hasil jual buah keranji sejak tahun lalu,” katanya.

Azlina yang menyewa di Jalan Darat Makbar, di sini memberitahu, mereka mendapatkan bekalan buah keranji daripada ahli keluarga kemudian dua anaknya itu akan menjualnya di depan pasar raya berkenaan selepas pulang dari sekolah.

“Saya tak pernah dengar mereka mengeluh sebab terpaksa berniaga bagi membantu keluarga.

“Tapi sekarang pun kami tak dapat nak berniaga sebab terputus bekalan buah itu.

“Tapi nasib baiklah abang ipar banyak tolong selain ada pihak yang tampil sebelum ini menghulurkan bantuan, ringanlah sedikit beban kami” katanya.

Menurut Azlina, enam anaknya lagi tidak dapat pergi ke sekolah sejak seminggu lalu kerana ketiadaan wang belanja.

Dalam pada itu katanya, walaupun menerima bantuan sebanyak RM950 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ), namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung mereka sekeluarga.

“Saya harap dapat terima bantuan untuk menjalankan semula perniagaan buah-buahan seperti bantuan modal, gerai dan tapak bagi membolehkan kami sekeluarga hidup lebih selesa,” katanya.

0 comments:

share2