Seorang pelajar rabun warna terpaksa akur dengan tindakan saman yang dikenakan ke atasnya apabila gagal menunjukkan lesen motosikal dalam Ops Roda-Sekolah semalam.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar itu mengakui terpaksa menunggang motosikal ke sekolah kerana ibunya tidak dapat menghantarnya ke sekolah kerana terpaksa menguruskan tiga lagi adik-beradik lain.
Dia mendakwa sudah menjalani ujian kenderaan kerana terpaksa berdikari selepas bapanya meninggal dunia tetapi gagal kerana rabun warna.
“Mak sibuk menguruskan adik-adik selain bersedia untuk menjual nasi ayam di pasar malam. Jadi saya datang sendiri ke sekolah dengan menunggang motosikal milik mak,” katanya.
Seorang lagi pelajar yang kebetulan melalui kawasan berkenaan mendakwa dia dan rakannya melalui jalan hadapan sekolah berkenaan untuk membeli air tidak jauh dari lokasi operasi.
Pelajar tingkatan empat dari sekolah agama berdekatan itu mengakui menggunakan motosikal bapanya untuk ke sekolah setiap hari dengan melalui jalan kampung.
“Saya hanya menggunakan motosikal untuk pergi ke sekolah sahaja kerana ayah bekerja tetapi kalau untuk ke tempat lain, mak dan ayah akan hantar,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi kira-kira tiga jam itu, seorang wanita mengandung turut disaman kerana gagal menunjukkan lesen kenderaan.
Wanita berusia 22 tahun yang tinggal di Batu 6 Jalan Gambang itu berkata, dia baru pulang dari klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan.
“Saya terpaksa pergi sendiri menggunakan motosikal suami kerana dia bekerja di Paloh Hinai, Pekan,” katanya.
Pelajar dan wanita berkenaan adalah antara 51 yang dikenakan saman kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani berkata, dalam ops Roda kelmarin, polis menahan 26 individu yang tidak mempunyai lesen memandu, empat individu yang tidak mempunyai cukai jalan manakala 19 individu tidak memakai topi keledar.
Dalam operasi sama, polis berjaya menahan tiga lelaki positif dadah dadah dan tiga lelaki warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen sah.
“Polis akan terus melakukan pemeriksaan di sekolah bagi memastikan semua peraturan jalan raya dipatuhi bagi mengelakkan kemalangan maut dalam kalangan pelajar,” katanya.
0 comments:
Post a Comment