Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 17, 2015

KUANTAN - DERMA DARAH SELAMAT NYAWA


Derma darah selamat nyawa


Semua pihak perlu mengambil inisiatif meningkatkan jumlah penderma darah di negeri ini bagi menampung kekurangan bekalan darah di Unit Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, pelbagai agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri termasuk Hospital Pakar Kuantan (KSH) harus mempergiatkan usaha tersebut bagi memastikan peratusan penderma di negeri ini meningkat.

“Kalau ikutkan peratusan penderma darah masih rendah, jika dibandingkan jumlah keseluruhan populasi penduduk di negeri ini.

“Jadi dalam hal ini, agensi berkaitan perlu memainkan peranan beri kesedaran kepada rakyat supaya mereka tidak takut menderma darah,” katanya selepas merasmikan program derma darah dan pemeriksaan kesihatan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2015 di sini.

Katanya, agensi berkenaan perlu mempertingkatkan usaha mereka dengan mengadakan pelbagai bentuk kempen dan program bagi menarik minat masyarakat supaya menjadi penderma darah seterusnya membantu menambahkan bekalan darah.

“Agensi ini perlu memupuk kesedaran mengenai kepentingan menderma darah kerana banyak nyawa dapat diselamatkan melalui darah yang didermakan. Setitis darah yang disumbangkan penderma memberi seribu makna kepada mereka memerlukan.

“Penerangan yang mendalam kepada masyarakat juga perlu diberikan agar masyarakat menyedari kepentingan dan manfaat menderma darah,” katanya.

Norol Azali berkata, setiap kempen dan program yang dirancang perlu lebih inovatif dan menyediakan maklumat terperinci berkaitan kelebihan menderma darah.

“Kita harap lebih ramai lagi rakyat yang sudi untuk menderma darah, seorang penderma boleh menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa, golongan muda adalah digalakkan untuk menjadi penderma darah.

“Golongan wanita juga boleh menderma darah dan kalau kita menderma darah kita akan jadi lebih sihat kerana darah itu akan berganti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya menderma darah di mana-mana pusat derma darah yang berhampiran.

“Ini kerana bekalan darah amat diperlukan untuk membantu pesakit yang menghadapi pelbagai jenis penyakit,” katanya.

0 comments:

share2