Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan terhadap isu alam sekitar bagi memastikan pencemaran yang diakibatkan oleh sektor pembalakan dan perlombongan tidak terus membelenggu rakyat di Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, isu pencemaran yang diakibatkan oleh perlombongan bijih besi dan bauksit akan terus ditangani secara bersama oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memastikan pelombong terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.
"Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk mengadakan operasi bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan terhadap pelombong yang mendatangkan masalah berjalan lancar.
"Sekarang keadaan bertambah baik cuma masalah timbul daripada pelombong haram yang degil. Yang itu kita akan pergi dan sita barang-barang perlombongan mereka.
"Kita terpaksa lakukan ini sebab mereka yang timbulkan masalah ini tidak memikirkan orang lain," katanya ketika menggulung perbahasan Sidang Dun di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Adnan berkata, para kontraktor dan persatuan pelombong juga sepatutnya bekerjasama mencuci jalan raya dan lori yang membawa bauksit bagi memastikan debu yang bertaburan di atas jalan raya tidak mencemar alam sekitar dan menyusahkan penduduk kampung di kawasan perlombongan berkenaan.
"Tapi ini pun mereka tak buat. Justeru kerajaan kini sedang buat kajian bersama penasihat undang-undang negeri untuk mengutip bayaran daripada kontraktor dan pelombong yang terlibat.
"Saya difahamkan pulangan sebulan yang pelombong peroleh adalah kira-kira RM200 juta. Jika kita kutip RM4 satu tan dan kita kutip 80 tan kita dapat kira-kira RM32 juta.
"Hasil dari kutipan tersebut kita akan salurkan kepada penduduk kampung terlibat seperti di Beserah dan Kampung Selamat, sebagai elaun sara hidup atau pendapatan tambahan untuk mereka mencuci rumah dan jalan raya yang dicemari bauksit," katanya.
Selain itu Adnan berkata, bagi memastikan sektor pembalakan tidak merosakkan alam sekitar, para kontraktor dikehendaki mematuhi dua perkara iaitu harus memastikan kedudukan penduduk Orang Asli tidak terjejas, dan tidak merosakkan kawasan tadahan air.
0 comments:
Post a Comment