Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 29, 2015

KUANTAN : AIR TERJUN PELANGI AKAN DITUKAR NAMA

Air Terjun Pelangi



KUANTAN - Status kawasan Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing dekat sini, akan ditukar kepada hutan lipur dalam memperhebat usaha mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata penukaran status itu akan dibuat mengikut pewartaan di bawah Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Apabila Air Terjun Pelangi diwartakan kepada Hutan Lipur Pelangi, ia akan memberi lebih publisiti kepadanya dan akan dimasukkan ke dalam senarai 28 Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Ini juga akan memberi peluang kepada pengusaha pelancongan yang berpotensi untuk menjalankan perniagaan sekitar kawasan berkenaan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Mohd Sharkar berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu status dan kedudukan Air Terjun Pelangi serta usaha mempromosikan air terjun itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dicadang untuk melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan kerjasama dan kolaborasi lebih terancang bersama agensi lain dalam menghadapi bencana alam seperti banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata jika SKMM disenaraikan, ia dapat membantu dalam rancangan secara strategi bantuan seperti bot untuk penghantaran diesel dan set janakuasa ke tapak pemancar yang terjejas akibat banjir bagi memastikan sistem telekomunikasi terus berfungsi.

Shahaniza berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang ingin tahu tindakan kerajaan negeri bagi memastikan telekomunikasi tidak terjejas jika bencana banjir besar seperti yang berlaku awal tahun berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail pula memaklumkan perjanjian usahasama membangunkan Taman Mini Air Kubang Gajah di Temerloh dilakukan secara teliti dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Katanya perjanjian usahsama itu melibatkan Majlis Perbandaran Temerloh dan Syarikat Shahrali Construction Sdn Bhd selaku syarikat pengusaha.




0 comments:

share2