Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 31, 2015

KUANTAN : KECEWA RUMAH BELUM ADA CF

Kecewa rumah belum ada CF



Akibat kesempitan hidup, hampir 35 keluarga nekad untuk mendiami rumah kos rendah yang dibeli mereka walaupun kediaman berkenaan belum memiliki sijil layak menduduki (CF).

Kebanyakan mereka yang menginap di flat ini tidak mempunyai pendapatan tetap malah mereka terpaksa mengambil risiko untuk menetap di sini, demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Isu membabitkan kelulusan CF hampir dua tahun berlarutan dan rata-rata penduduk di flat Bukit Setongkol mula bingung memikirkan nasib mereka akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemaju.

Pengerusi Perwakilan Penduduk Taman Bukit Setongkol, Goh Thim Fatt, berkata masalah ini telah lama berlarutan dan tiada sebarang penyelesaian dibuat oleh pemaju dalam usaha mendapatkan CF Flat berkenaan.


“Bukan sahaja tiada CF, tetapi dua baris rumah teres bertingkat yang mengandungi 28 unit rumah terpaksa dikosongkan kerana tiada elektrik dan air.

“Bila bekalan itu tidak diperoleh semestinya mendatangkan masalah kepada penghuni di flat ini,” katanya.

Thim Fatt meminta agar pihak pemaju segera menyelesaikan perkara ini agar pembeli flat berkenaan dapat menikmati hidup dengan lebih sempurna.

Penduduk, Lew Seng Seog, turut menyuarakan rasa kecewa dengan masalah tersebut kerana pemaju sanggup membiarkan perkara sebegini berlarutan begitu lama. 

Katanya, masalah ini telah lama berbangkit tidak silap saya sejak tahun 2007 dan disebabkan kegagalan pemaju penduduk berdepan dengan pelbagai kesukaran terutamanya dalam mendapatkan bekalan air.

“Kebanyakan penghuni di sini terpaksa menggunakan air industri dan kadar bayaran bulanan juga amat mahal iaitu sekitar RM1.45 seunit.

“Jadi dalam hal ini purata pembayaran bil bulanan seseorang penduduk dianggarkan RM30 hingga RM40 sebulan dan bagi saya ia adalah jumlah yang cukup mahal,” katanya.

Halimah Hamzah pula berkata sejak berpindah ke rumah ini dua tahun lalu, pelbagai masalah terpaksa dilalui termasuklah masalah bekalan air dan sistem pembetungan.

Menurutnya, ramai penduduk mula bosan dengan janji pemaju yang kononnya akan memberikan CF dalam masa terdekat ini.

“Tetapi janji tinggal janji dan saya berharap agar pemaju lebih bertanggungjawab tentang masalah penghuni flat ini,” katanya.

Seorang lagi penghuni mahu dikenali dengan nama Fiza, berkata, dia terpaksa tinggal di rumah ini juga kerana sudah mula membuat pembayaran sebanyak RM300 sebulan.

Menurutnya yang sebelum ini menyewa di Indera Mahkota berkata, dia dan suami tidak mampu membayar dua rumah lalu mengambil keputusan untuk tinggal di sini walaupun belum mendapat CF.

Mengenang nasib yang menimpa penduduk di sini, mendapat perhatian apabila Ketua Muda Keadilan, Wong Chun Yuan cuba menyelesaikan masalah ini dengan memaklumkan kepada Adun Semambu, Lee Chean Chung.

Katanya, pihaknya akan cuba berunding dengan pemaju agar penduduk mendapat CF sebagai jaminan mereka.



0 comments:

share2