Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 6, 2015

KUALA LIPIS: ALUMNI DIMINTA BANTU


Abdul Fattah Abdullah


Persatuan bekas pelajar atau Alumni diminta membantu menggalakkan penubuhan lebih banyak koperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negara ini sekali gus dapat mendidik pelajar dalam bidang perniagaan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, persatuan alumni yang semakin giat membantu pentadbir sekolah untuk kecemerlangan akademik juga perlu memfokuskan kepakaran membantu
pengurusan koperasi sekolah agar memperoleh peluang perniagaan serta meningkatkan pendapatan bagi manfaat dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, perkara itu selari dengan sasaran Angkasa sendiri, iaitu sebanyak 40 koperasi sekolah telah ditubuhkan sejak 2013 dengan mampu mencapai perolehan pendapatan tahunan antara RM500,000 sehingga RM1 juta.

“Hasrat Angkasa menyasarkan sebanyak 10 buah koperasi sekolah menengah lagi ditubuhkan menjelang akhir tahun ini dan meningkat sejumlah 50 buah koperasi yang menzahirkan kemampuan masing-masing meraih pulangan tahunan RM1 juta setiap koperasi dengan mempelbagaikan pelan perniagaan yang direncanakan oleh guru dan pelajar sekolah berkenaan.

“Sebagai contoh, Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas antara yang telah berjaya meraih pulangan sebanyak RM1.02 juta pada 2013 sekali gus menterjemahkan bahawa di bawah pengurusan pelajar dan pemantauan guru koperasi sekolah mampu meraih pendapatan tinggi berbanding koperasi lain,” katanya selepas melancarkan Program Ceriathon sempena Hari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengetua SMK Clifford, Rosidah Kamaludin dan Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Clifford, Syed Mohamed Syed Agil.

Abdul Fattah berkata, berdasarkan statistik pada 2013 menunjukkan sebanyak 40 buah koperasi sekolah mampu meraih pulangan melebihi RM500,000 manakala 300 koperasi lagi mencatatkan perolehan antara RM300,000 dan RM500,000.

“Saya amat berharap pengurusan koperasi sekolah lebih inovatif dan kreatif dalam merebut peluang perniagaan yang berisiko pulangan pendapatan yang tinggi dan jangan semata-mata berpuas hati dengan hasil jualan peralatan tulis dan baju sukan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, Angkasa sudah melaksanakan program bimbingan pengurusan kepada koperasi yang baharu dan sudah lama ditubuhkan agar lebih efisien serta kecekapan pengurusan bagi mendepani perniagaan yang lebih kompetitif pada masa akan datang.

Abdul Fattah berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang sentiasa mengiktiraf peranan serta tanggungjawab koperasi sekolah untuk menjana pembangunan modal insan yang sanggup bersaing serta berpotensi memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Sementara itu katanya, Program Karnivalton dan Ceriaton Koperasi SMK Clifford di sini, antara pengisian menitip minat pelajar mempelajari pengurusan perniagaan selari dengan manifestasi bidang kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah, iaitu berdisiplin dan bekerjasama.

“Kegiatan seperti gerai jualan makanan, kraf tangan dan permainan membina minda perlu dijadikan acara tahunan di samping signifikan menambah dana saham koperasi sekolah," katanya.

0 comments:

share2