Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 18, 2015

JERANTUT : CURI LEMBU GUNA UBAT PELALI

Curi lembu guna ubat pelali gagal



Hasrat dua lelaki yang cuba mencuri seekor lembu menggunakan ubat pelali gagal apabila mereka terserempak seorang penduduk, di Kampung Pisang, di sini, pagi kelmarin.

Seorang penduduk, Ibrahim Awang, 70 berkata, ketika mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi, dia terkejut apabila melihat kelibat dua orang suspek yang tergesa-gesa memasukkan seekor lembu yang terkena ubat pelali ke dalam kereta Proton Saga berwarna putih.

Menurutnya, melihat kelibat lelaki berkenaan, dia segera memasang lampu garaj rumahnya sambil menyergah perbuatan pencuri itu yang baharu selesai menyumpit ubat pelali ke atas haiwan itu dalam jarak 30 meter dari kediamannya.

“Suspek yang belum sempat memunggah lembu yang rebah (pengsan) akibat terkena ubat pelali itu segera melarikan diri dengan memecut laju kereta lalu keluar dari kawasan rumah saya,” katanya di Kampung Pisang, di sini, semalam.

Ibrahim berkata, berasaskan pengalamannya sebagai penternak, lembu berkenaan berusia lebih kurang setahun dan seberat 100 kilogram yang ketika dibedil ubat pelali sedang tidur bersama-sama kumpulan haiwan di kampung berkenaan.

“Melihat pencuri itu memecut kereta, saya bertindak mengejutkan jiran lalu kami mengejar ke arah Jalan Jerantut ke Temerloh, tetapi usaha menjejaki pencuri itu gagal,” katanya.

Menurutnya, kes kecurian lembu melibatkan penggunaan ubat pelali sering berlaku di Kampung Pisang dan ladang ternakan berdekatan khususnya di kawasan Temin.

“Dalam tempoh empat bulan ini sahaja, sebanyak tiga kali kejadian mencuri ternakan berlaku dan laporan kepada polis sudah pun dibuat, tetapi pencuri masih berani masuk ke kampung ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Rokmin Muda, 44, penduduk turut mengadakan kawalan kampung secara bergilir-gilir pada waktu malam, tetapi pencuri cukup licik dan masih berani menceroboh kampung itu.

“Kita juga hairan bagaimana ubat pelali boleh diperoleh dengan mudah seolah-olah tidak ada kawalan sehingga pencuri menggunakan taktik berkenaan untuk mencuri ternakan di kampung ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap pihak berkuasa kerap membuat rondaan dan pengintipan di kawasan Temin untuk mengelakkan kecurian berulang dan kerugian yang ditanggung oleh penternak di situ.





0 comments:

share2