Kuala Terengganu - Seorang lelaki menerima pembalasan akibat tindakan mencekik leher ibunya sendiri dengan niat membunuh hanya kerana gagal menemui kunci motosikal yang dicari.
Mohd Nazri Ismail, 37, dari Kampung Nibong, di sini, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas perbuatan tidak berperi kemanusiaannya itu, semalam.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Mohd Nazri mengaku salah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas ibunya, Senik Abullah, 70, pada lebih kurang jam 11 pagi, 1 Mac lalu, di kediaman mereka di Lorong Kubur Kecil, di sini.
Perbuatan dilakukan Mohd Nazri merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau dengan maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Nazri telah mengamuk semasa berada di rumah pada hari kejadian dan bertindak menendang pintu hadapan rumahnya.
Tidak puas hati dengan tindakan itu, dia kemudiannya mencekik leher Senik dengan niat membunuh mangsa kerana berasa bengang apabila gagal menemui kunci motosikal yang dicari.
Mohd Nazri turut melepaskan amarahnya dengan merosakkan barang-barang dapur di rumah berkenaan dan melihat keadaan agak tegang, mangsa mengambil keputusan menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan kerana risaukan keselamatan diri serta ahli keluarga.
Susulan panggilan kecemasan diterima, Mohd Nazri berjaya ditangkap di rumahnya pada jam 11.30 pagi pada hari kejadian.
0 comments:
Post a Comment