Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 26, 2015

ROMPIN : PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA SUDAH BERMULA - MB PAHANG

Adnan Yaakob



Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan dakwaan pembangkang bahawa Felda gagal memenuhi janjinya untuk menyediakan rumah kepada generasi kedua Felda.

Adnan berkata, projek perumahan di tiga skim pembangunan tanah – Felda Mempaga, Felda Chini dan Felda Jengka - di negeri ini sudah bermula.

Kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat," kata Adnan kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa kepada 826 pelajar dari Rompin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak di Keratong 4, kira-kira 72 km dari sini hari ini.

Beliau bagaimanapun, mengakui bahawa berlaku sedikit kelewatan dalam pelaksanaan projek perumahan berkenaan, dan kedudukan ini digunakan oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin ini.

"Permintaan untuk rumah tinggi. Pelaksanaannya memerlukan masa untuk disiapkan kerana ia membabitkan usaha sama antara Felda dan kerajaan persekutuan yang membiayainya, manakala kerajaan negeri menyediakan tanah yang sesuai," katanya.

"(Felda) Mempaga, Chini dan Jengka ada banyak tanah kosong untuk projek ini, sebab itulah Felda boleh bina rumah ini di ketiga-tiga skim Felda itu lebih awal daripada Felda lain," katanya.

Adnan turut memberi jaminan bahawa kerajaan Pahang akan membantu Felda mengenal pasti tanah yang sesuai bagi memastikan belia Felda memperoleh peluang
untuk memiliki rumah sendiri.

Rabu lalu, Timbalan Persuruhjaya Pas Pahang Nasrudin Hassan dalam kempennya di Muadzam Shah berkata Pas akan mengetengahkan isu perumahan generasi kedua Felda dalam kempennya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin pada 5 Mei.

Nasrudin mendakwa isu perumahan untuk generasi kedua Felda masih tertangguh, dan ini mengecewakan peneroka memandangkan janji itu sudah lama dibuat.

Lima puluh peratus daripada pengundi kerusi Parlimen Rompin terdiri daripada kalangan peneroka dari 14 rancangan Felda, dan program perumahan generasi kedua sudah menjadi antara isu panas.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Datuk Hasan Arifin, 62, dicabar oleh calon Pas Nazri Ahmad, 40, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Pengundian awal ditetapkan pada Khamis manakala pengundian penuh pada 5 Mei.




0 comments:

share2