Seramai 19 Pengerusi JKKK Dun Tioman termasuk lima dari Pulau Tioman yang sebelum ini telah membuat keputusan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin jika calon selain Datuk Hasan Arifin diumumkan hari ini (semalam) menarik nafas lega selepas calon pilihan mereka itu telah dipilih pucuk pimpinan parti.
Mereka turut menzahirkan rasa syukur atas pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah majlis khas yang diadakan di Bandar Muadzam Shah, kelmarin memihak kepada Datuk Hasan Arifin.
Pengerusi Ketua-ketua Kampung Dun Tioman, Mohd Zaker Awang, berkata, pemilihan Datuk Hasan Arifin merupakan satu mandat yang besar kepada Umno Rompin untuk memastikan kerusi Parlimen Rompin terus kekal milik BN.
“Selepas pengumuman yang dibuat semalam (kelmarin) maka secara automatik kami akan memberikan fokus sehabis baik untuk memastikan calon pilihan kami itu menang dan berharap mencapai majoriti yang lebih tinggi berbanding PRU lalu.
“Terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob yang memberikan kepercayaan kepada anak Rompin untuk bertanding,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian 17 April lalu melaporkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dun Tioman akan menolak sekeras-kerasnya jika calon selain Datuk Hasan Arifin bertanding di PRK Parlimen Rompin 5 Mei depan.
Mereka yang terdiri daripada 19 Pengerusi JKKK Dun Tioman termasuk lima dari Pulau Tioman itu telah membuat ketetapan bahawa akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon pilihan mereka itu.
Dalam pada itu, Zaker turut menyeru pengundi luar agar balik untuk mengundi dalam memastikan bukan setakat kemenangan diperolehi oleh calon BN tetapi majoriti lebih tinggi berbanding PRU lalu.
Kalau ada orang macam ni dalam UMNO, lebih baik aku undi PAS.