Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 23, 2015

#PRK ROMPIN : HASAN SIMPAN HAJAT BESAR BUAT PENGUNDI



Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin berhasrat membawa lebih banyak pembangunan jika dipilih sebagai anggota Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan, 5 Mei ini

Hasan yang akan berdepan calon PAS Nazri Ahmad, pada PRK tersebut berkata pembangunan di kawasan berkenaan adalah fokus utamanya kerana penduduk Rompin masih dahagakan kemudahan itu.

“Masih banyak perlu dilakukan. InsyaAllah jika diberi kesempatan menjadi wakil rakyat, saya akan usahakan untuk melakukan pembangunan secara adil di setiap tempat di kawasan ini,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Besar Pahang itu berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Hasan yang juga anak tempatan berharap pilihan raya kecil itu dapat dijalankan dengan semangat demokrasi yang tinggi tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk serangan peribadi semasa tempoh kempen.

“Alhamdulillah proses penamaan calon kali ini berjalan dengan teratur serta baik, kedua belah pihak juga menunjukkan semangat demokrasi yang tinggi.

“Harap ia dapat berterusan sampai PRK nanti dan terima kasih kepada PAS kerana persefahaman yang ditunjukkan begitu tinggi,” kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin itu.

Hasan yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kedua-dua DUN di Parlimen Rompin, iaitu Tioman (1986 untuk sepenggal) dan Bukit Ibam (sejak 1990 untuk tempoh tiga penggal), turut melahirkan keyakinan mampu mengekalkan kerusi BN itu kerana beliau bukan orang asing bagi pengundi di Parlimen Rompin.

Walaupun telah lama ‘berhenti’ menjadi wakil rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Hasan sering turun padang menghadiri program bersama rakyat dan sentiasa ‘dekat di hati rakyat’ kawasan berkenaan.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. Pada PRU Ke-13 lepas, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. -




0 comments:

share2