TIMBALAN Menteri Besar Kelantan dan anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abduh mendedahkan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) pernah mengingatkan ahli parti itu agar mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.
TGNA juga mengingatkan ahli Pas agar tidak mengkritik Umno, kerana parti Melayu itu merupakan pihak yang perlu berurusan bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri tercapai. Lakukan demi kebaikan rakyat.
Perkara ini didedahkan kerana timbul isu yang dibangkitkan ahli Pas dengan mendakwa Pas sudah masuk perangkap Umno kerana mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.
Suka atau tidak, Pas perlu sokongan Umno untuk menjayakan agenda hududnya. Dalam keadaan negara yang populasinya, 50-50 antara Islam dan bukan Islam, tanpa sokongan salah satu parti, tidak mungkin agenda Islam dapat dimartabatkan. Justeru, jangan terus berbalah, sehingga terlepas pandang, siapa kawan, siapa musuh.
Jangan menyesal apabila telah menjadi seperti Pulau Pinang. Apabila ultra kiasu memerintah, agenda Islam sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Jangan bincang lagi agenda Melayu. Bermacam cara dilakukan bagi memastikan Melayu tidak berada di pulau, termasuk menawarkan harga rumah yang murah di tanah besar.
Kenapa perlu memusuhi saudara atau parti seagama melebihi ultra kiasu? Kenapa boleh berkawan dengan mereka, tetapi tidak boleh berkawan dengan rakan seagama. “Sejahat-jahat’ Umno, tetap saudara kita. Sebaik mana pun ultra kiasu, tetap memusuhi Islam.
Musuh sudah terang-terang menyerlahkan sifatnya? Mereka tentang hudud hingga ke hujung nyawa. Meskipun ada pimpinan Umno masih berbelah bahagi untuk menyokong hudud, tetapi sekurang-kurang mereka masih tidak menentang secara terang-terangan. Takut terkeluar dari akidah.
Saya masih teringat apabila sebuah negeri yang jatuh kepada bukan Islam. Boleh dikatakan hampir setiap 1 atau 2 kilometer, kita akan lihat di situ ada rumah ibadat. Dalam maksud, bila orang lain memerintah, mereka akan pastikan agama dan institusinya dimartabatkan.
Kita pula tidak begitu. Kita hanya dirikan rumah ibadat di kawasan majoriti Islam. Kita tidak akan buat rumah ibadat begitu terasing daripada komuniti Islam. Polisi membina surau, masjid, syaratnya, mesti ada jemaah.
Orang lain tidak. Tidak kira ada jemaah atau tidak, rumah ibadat tetap akan dipacak. Apabila mahu dirobohkan bagi tujuan pembangunan, maka heboh satu dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama.
Kedua, saudaraku seagama, sepanjang Islam memerintah negara mana sekalipun, jarang sekali berlaku penganiayaan kepada bukan Islam. Berlaku sebaliknya apabila bukan Islam memerintah. Ada sahaja kedengaran umat Islam dipinggirkan. Malah, lebih dahsyat ada yang diseksa dan dibunuh. Misalnya, di Nyanmar, Palestin dan sebagainya. Apakah dengan terlaksananya hudud, bukan Islam akan dimangsakan? Tidak.
Maka tidak hairan, jika seorang sami Buddha di Melaka memeluk Islam baru-baru setelah lebih 30 tahun mengkaji pelbagai agama ketika menjadi sami. Inilah realiti agama Islam. Rahmat seluruh alam.
Mengikut kajian dan jangkaan Pew Research Center (April 2015), berpangkalan di Amerika Syarikat, pada 2050, bilangan umat Islam akan menjadi hampir sama dengan bilangan penganut agama Kristian. Jumlah umat Islam akan meningkat secara drastik kepada 2.8 bilion (30% populasi dunia) dan Kristian 2.9 bilion (31%). Sehingga 2070, agama Islam akan menjadi agama paling popular di dunia, berbanding agama lain.
Pew mengakui agama Islam begitu cepat berkembang dan mendapat sambutan berbanding agama lain. Walaupun Islam hari ini ditekan dan dihina, serta dilabelkan dengan pelbagai imej negatif seperti pengganas, ekstremis dan lain-lain, ia tetap mendapat tempat di hati manusia.
Saya amat teruja apabila membaca berita terkini mengenai perkembangan artis luar negara seperti Liam Neeson (UK) mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Begitu juga Nook Suthida, artis terkenal Thailand yang telah pun memeluk Islam. Ini tidak termasuk, pemain bola sepak terkenal Amerika, Dominique Easley. Pensyarah perbandingan agama Universiti Hawaii, James Frankel. Jessica Rhodes (Norway), Noordeen Wilderman (Belanda) dan ramai lagi.
Justeru, bersangka baiklah sesama Islam. Pastikan agenda Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya. Yakinlah, Islam turun membawa kebaikan. Bukan Islam tidak perlu takut kerana sejarah membuktikan mereka dapat hidup senang-lenang dalam sebuah negara Islam.
Mudah-mudahan kerajaan perpaduan antara Umno-Pas dapat direalisasikan.
0 comments:
Post a Comment