Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dalam usaha memastikan produk makanan pertanian yang dipasarkan dalam keadaan selamat.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan lebih kerap akan dilakukan ke atas produk pertanian bermula daripada proses menanam, memproses, mengutip hasil, penyimpanan, pengedaran dan penyediaan makanan.
Menurutnya, pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan pengguna mendapat makanan yang sihat dan selamat pada hasil pertanian yang dikeluarkan.
“Penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap pengeluaran hasil pertanian bukanlah untuk menyusahkan pekebun dan petani sebaliknya menjaga kepentingan pengguna.
“Pengusaha perlu memahami bahawa hasil pertanian yang diimport keluar seperti Singapura dan sebagainya terpaksa melalui proses pemeriksaan yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2015 peringkat Negeri Pahang, di Laman Kerayong, dekat sini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Datuk Mohd Fadil Osman.
Ismail Sabri berkata, buat masa kini kerajaan giat memperketatkan peraturan kebersihan makanan dengan mengadakan sistem keberkesanan makanan seperti Peraturan 10 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Katanya, bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian yang selamat, pihaknya menggalakkan pertanian moden seperti bioteknologi dalam usaha mengeluarkan hasil yang selamat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata amalan terbaik yang akan didedahkan kepada pengguna termasuklah meningkatkan tahap kebersihan pengendalian makanan.
“Pengguna juga harus memastikan pengendali makanan mematuhi syarat dikeluarkan dan mengamalkan Program Jaminan Keselamatan Makanan seperti Skim Pensijilan Hazard Analysis dan Critical Control Point (HACCP) dan sebagainya.
“Untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian mencakupi kehendak pasaran, pengusaha perlu tingkatkan pengetahuan mengenai penanaman berkualiti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment