Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 26, 2015

RUGI ANGKARA TAWARAN MURAH


Rugi angkara tawaran murah


“Hanya kerana tertarik dengan iklan jualan murah telefon bimbit pintar jenama terkenal di sebuah laman web, membuatkan saya tidak berfikir panjang dan dengan segera membuat bayaran secara atas talian ke akaun seorang lelaki berjumlah RM1,800.

“Sebenarnya saya teringin bergaya dengan telefon pintar model jenama idaman tanpa memikirkan kemungkinan risiko ditipu,” kata seorang mangsa penipuan perniagaan atas talian.

Hanya mahu dikenali sebagai Haiza, 20an, berkata, dia mempunyai hobi melayari internet menyebabkannya tidak dapat mengelakkan dirinya daripada terpengaruh dengan iklan jualan barangan atas talian yang semakin banyak di laman sosial.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan kerana urusan pembelian yang dilakukannya sebelum ini tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dan barang yang dipesan tiba pada tempoh yang dijanjikan.

“Pembelian sebelum ini hanyalah melibatkan barangan seperti pakaian, kasut dan tudung. Cuma dalam kejadian tersebut saya tertarik dengan iklan jualan murah telefon bimbit pintar.

“Saya menjadi lebih teruja apabila mengetahui telefon itu yang masih baharu, harganya adalah lebih murah berbanding harga asal dalam pasaran,” katanya menceritakan kejadian yang menimpanya kira-kira dua tahun lalu kepada Sinar Harian.

Kakitangan kerajaan itu berkata, dia ada menghubungi lelaki terbabit sebelum memasukkan wang ke akaun yang dinyatakan dan diberitahu akan menerima telefon itu pada keesokan harinya.

Katanya, dia berasa yakin untuk berurusan lanjut dengan lelaki itu kerana tidak menunjukkan sebarang yang mencurigakan semasa kami berhubung menerusi telefon, selain berkali-kali meyakinkan perkhidmatan dan kualiti produk yang dijual.

“Namun, saya sedar ditipu apabila gagal menghubungi lelaki terbabit selepas mendapati telefon yang dijanjikan masih tidak diterima.

“Saya jadi buntu dan atas nasihat rakan-rakan akhirnya membuat laporan di balai polis berhampiran dan dengan harapan penjenayah itu dapat dikesan,” katanya.

Katanya, kejadian itu telah menginsafkan dirinya dan berjanji tidak mahu terlibat dengan pembelian melalui kaedah tersebut.

“Saya terlalu sedih ditipu, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan wang itu merupakan simpanan yang dikumpulkan selama setahun.

“Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar tetapi ia sangat bermakna kerana simpanan itu dibuat daripada lebihan gaji bulanan,” katanya.

Haiza berkata, dia merasakan dirinya seperti “dipukau” ketika melihat iklan tersebut kerana berasa teruja yang luar biasa untuk membeli telefon tersebut walaupun sebelum kejadian ada membuat tinjuan di kedai-kedai telefon bimbit.

Ekoran kejadian tersebut, katanya, ia memberi kesan kepada dirinya yang secara langsungnya memperlahankan hobinya melayari internet atau melawat laman web peniaga atas talian.

“Saya tidak mahu kejadian itu berulang lagi dan cukup hanya sekali menjadi mangsa. Sebelum ini hanya baca kisah pengakuan mangsa penipuan atas talian dan tidak sangka ia benar-benar terjadi kepada saya.

“Saya ambil masa selama sebulan untuk hilangkan rasa sedih itu dan kelamaan dapat menerima kenyataan. Enam bulan kemudian, saya berjaya memiliki telefon idaman yang dibeli di kedai,” katanya.

0 comments:

share2