Georgetown - Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) hari ini diminta menyiasat satu program anjuran penuntut sebuah kolej swasta yang dikaitkan dengan seorang wanita bertudung mendukung anjing di pusat beli-belah Penang Times Square di sini.
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, Pemuda UMNO juga mahu pihak JAINPP mengambil tindakan tegas dan sewajarnya supaya perkara itu tidak berulang di Pulau Pinang.
"Kami kesal, kecewa, marah dan menyelar program berkenaan kerana merasakan seperti ada agenda tersembunyi pihak tertentu untuk meneruskan kesinambungan program yang mencetuskan kontroversi negara iaitu program 'I Want To Touch A Dog'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan program 'Opt To Adopt' dari 4 hingga 8 Mac itu dianjurkan sekumpulan penuntut sebuah kolej swasta di sini bertujuan menghakis tanggapan negatif terhadap anjing jalanan dalam usaha mengurangkan anjing terbiar di sekitar Georgetown.
Bagaimanapun, kehadiran seorang wanita bertudung yang dilihat mendukung seekor anjing sambil gambarnya dirakam oleh seorang lelaki dipercayai kenalannya menjadi viral dalam media sosial dan mendapat kencaman masyarakat setempat terutama yang beragama Islam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bertudung pegang anjing jadi viral]
Aksi wanita itu yang mengenakan tudung berwarna putih, berbaju T dan berseluar jeans mula mendapat perhatian ramai dalam laman media sosial termasuk WhatsApp pagi semalam ekoran perbuatannya yang seolah-olah tidak sensitif dengan isu memegang anjing.
Rafizal berkata, penganjur juga dilihat langsung tidak mengira sensitiviti umat Islam yang ada di negara ini dengan melaksanakan program itu secara terbuka.
"Ini ditambah pula dengan gambar seorang perempuan bertudung yang mendukung seekor anjing dan saya percaya ia (gambar itu) sengaja diviralkan oleh pihak tertentu seolah-olah ingin menyindir umat Islam," katanya.
Beliau berkata, Pemuda Umno ingin mengingatkan semua pihak agar tidak mempermainkan sensitiviti agama di negara ini. Hormati agama masing-masing, katanya.
"Kepada pihak tertentu yang ada agenda dan muslihat, kami minta mereka hentikanlah dan Pemuda Umno Pulau Pinang tidak akan sesekali bertolenrasi serta berganjak daripada mempertahankan agama Islam," katanya.
0 comments:
Post a Comment