Nelayan laut diingatkan supaya tidak bertindak kejam dengan membunuh penyu yang tersangkut pada pukat mereka gara-gara kecewa kerana tidak peroleh hasil yang diharapkan.
Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussin berkata, dalam tempoh 10 tahun sebanyak 52 ekor penyu jenis agar dan lipas ditemui mati terdampar di beberapa kawasan pantai di negeri ini.
Menurutnya, kematian terbaru dilaporkan membabitkan seekor penyu jenis Agar seberat lebih 40 kilogram yang terdampar di pantai Kampung Sepat, di sini, kelmarin yang dipercayai tersangkut pada pukat nelayan.
“Siasatan awal pihak kami mendapati penyu berkenaan mati tiga hari sebelum ditemui penduduk setempat, cengkerannya pecah menjadi punca kepada reptilia terbabit mati.
“Pihak jabatan akan terus melakukan siasatan bagi mengesan pihak yang bertindak kejam membunuh penyu berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan nelayan asing,” katanya.
Adnan berkata, usaha menambah jumlah penyu di perairan negara ini tidak akan berhasil sekiranya masih terdapat individu kejam yang sanggup membunuh reptilia berkenaan hanya disebabkan hidupan laut itu tersangkut pada pukat atau jaring mereka.
“Jumlah terbanyak kematian dicatat pada 2005 yang membabitkan 15 ekor penyu agar diikuti masing-masing enam ekor pada 2007 dan 2008. Kes penyu lipas mati berlaku pada 2012.
“Kita sentiasa mengadakan program kesedaran membabitkan golongan nelayan, pelajar dan masyarakat terhadap kepentingan dan usaha menambah jumlah penyu di perairan negara ini,” katanya.
Beliau menjelaskan perbuatan membunuh penyu mengundang kepada berkurangnya jumlah pendaratan reptilia berkenaan di perairan negara ini terutama di beberapa kawasan utama sebelum ini seperti Pantai Cerating dan Pantai Chendur, di sini.
“Rekod Pusat Penerangan Dan Konservasi Penyu Cerating mencatat hanya 317 penyu mendarat tahun lalu berbanding 516 pada 2013 dan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 13 pendaratan dicatat.
“Dalam tempoh lima tahun sebanyak 109,472 biji telur penyu berjaya dikumpulkan untuk tujuan penetasan namun hanya 74,266 sahaja yang menetas dan dilepaskan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment