Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 3, 2015

JERANTUT : RESAH CARI RM3,000

Resah cari RM3,000


Sepasang suami isteri di Kampung Doja, Tembeling Tengah, di sini, resah berikutan bergelut untuk memperoleh wang sebanyak RM3,000 bagi urusan perbelanjaan dan kebajikan anak mereka yang akan menjalani pembedahan saluran darah ke jantung tersumbat, di Institut Jantung Negara (IJN).

Amiruddin Mustapha, 41, berkata anak bongsunya, Azimuddin, 6, akan menjalani pembedahan di IJN pada 8 Mac ini dan mereka memerlukan wang berkenaan untuk belanja pengangkutan, membeli peralatan anak semasa tempoh berada di wad serta menyewa bilik dan makanan ketika menjaga Azimuddin selepas pembedahan nanti.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Bahagian Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan kerana jaminan membantu membiayai kos pembedahan anak saya sebanyak RM55,000 lantaran kami tidak mampu mengeluarkan wang sejumlah itu.

“Tetapi, pihak berkenaan tidak menanggung kos semasa kami tinggal di IJN untuk menjaga anak, makan minum termasuk membeli peralatan Azimuddin di wad,” katanya.

Amiruddin berkata, anak ketiganya itu dikesan mengalami gangguan saluran darah ke jantung selepas dilahirkan pada 26 Mac 2009 dan kemudian menjalani pembedahan pertama di IJN pada 13 April tahun sama.

“Pembedahan pertama membabitkan kos sebanyak RM23,000, juga ditanggung kerajaan,” katanya.

Sementara itu, isteri Amiruddin, Zoria Khasin, 37, berkata, Azimuddin yang kini belajar di prasekolah telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan jantung di IJN setiap empat bulan sekali atas arahan doktor pakar. 

“Kami tak mampu cari wang sebanyak itu sedangkan pendapatan bulanan suami menoreh getah cuma RM500, malah untuk belanja dapur dan sekolah anak pun tidak mencukupi.

“Saya tidak mampu bekerja berat kerana penyakit kencing manis yang dihadapi semakin serius,” katanya.

Zoria berkata, mereka juga terpaksa menanggung kos perubatan dan pembelian lampin pakai buang anak sulungnya, Azwan Haikal, 12, murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tembeling, yang menderita sakit pada saluran kencing dan dubur.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Amiruddin dengan menghubungi talian 0148080230 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), nombor akaun 06105-41-00003292-7.



0 comments:

share2