KUALA LUMPUR: Selepas 30 tahun hidup dengan fizikal lelaki, pemeriksaan perubatan mendedahkan dia memiliki dua organ dalaman, iaitu wanita dan lelaki.
Kecelaruan itu hanya diketahui selepas lelaki terbabit ke hospital tahun lalu untuk pemeriksaan apabila mengalami sakit perut dan disyaki inflamasi apendiks akibat cara pemakanan yang salah.
Bagaimanapun, selepas pemeriksaan perubatan dan ultra bunyi, pesakit itu didapati memiliki ovari dan uterus wanita dan lelaki.
Presiden Persatuan Genetik Perubatan Malaysia, Dr Roziana Ariffin, berkata kajian mendapati dua organ dalaman itu yang bersimpul atau dikenali 'twisted ovarian cyst' menjadi punca pesakit itu sakit perut.
Ada juga kes seorang wanita berusia 20-an didapati memiliki kromosom 46, XY yang mengesahkan dia membawa genetik lelaki.
Keadaannya hanya diketahui selepas wanita itu membuat pemeriksaan perubatan di hospital kerana bimbang tidak pernah datang haid. Pemeriksaan dan ujian genetik mengesahkan dia memiliki kromosom 46 (lelaki).
Kedua-dua mereka antara 'pesakit' yang pada lahiriah lelaki atau wanita, tetapi selepas membesar menghadapi pelbagai komplikasi dan pemeriksaan mendapati mereka memiliki dua organ dalaman.
"Individu yang menghadapi penyakit ini mempunyai kedua-dua alat kelamin, walaupun ia tidak terbentuk dengan sempurna. Alat kelamin luaran mereka mungkin menyerupai lelaki atau wanita atau kedua-duanya," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pesakit yang menghadapi kecelaruan jantina hanya dikesan apabila mereka melakukan pemeriksaan perubatan.
"Pesakit kemudian diberi rawatan pakar mengikut kategori kes masing-masing. Latar belakang keluarga dan faktor perubatan perlu diambil kira sebelum jantina seseorang pesakit diputuskan sama ada menjadi lelaki atau wanita," katanya.
Beliau juga berpendapat isu kecelaruan jantina adalah masalah kompleks yang perlu diselesaikan secara bijak, memerlukan pendekatan secara menyeluruh dan realistik dengan sokongan masyarakat.
INFO KHUNSA
- Khunsa adalah keadaan yang mana jantina individu tidak diketahui sama ada lelaki ataupun perempuan disebabkan memiliki zakar dan faraj serentak ataupun tidak memiliki kedua-duanya langsung sejak lahir.
- Khunsa terbahagi kepada dua jenis, iaitu khunsa musykil (khunsa yang diragui) dan juga khunsa ghair musykil (khunsa yang tidak diragui).
- Bagi khunsa musykil jantinanya tidak diketahui disebabkan tiada sebarang tanda yang boleh diklasifikasikan sebagai lelaki ataupun perempuan.
- Khunsa ghair musykil jantinanya dapat dipastikan untuk dikategorikan sebagai lelaki ataupun perempuan melalui tanda seperti kedatangan haid.
0 comments:
Post a Comment