Sekali imbas, Yeak Ping Lian, 21, kelihatan tiada berbeza berbanding remaja seusianya, lebih-lebih lagi dengan wajah kacaknya yang sentiasa mengukirkan senyuman.
Bagaimanapun, apabila mengamati gelagatnya yang gemar senyum serta bercakap sendirian, ketika itu barulah kita sedari dia berbeza.
Ping Lian sebenarnya seorang remaja autisme. Dia mula didiagnosis dengan Attention Deficit Hyperactive Disorder atau autisme pada 1997, ketika berusia empat tahun.
Perbezaan dan keunikan Ping Lian bukan hanya setakat itu.
Berbeza remaja lain yang menghidap autisme, Ping Lian merupakan seorang artis prodigious savant (atau dalam erti kata mudah, seorang genius) yang sudah mencipta nama di persada antarabangsa.
Malah, hasil seni Ping Lian telah dipamerkan di merata negara, termasuk pameran antarabangsa pertamanya di Bandaraya New York ketika berusia 12 tahun.
Hasil seni yang memaparkan keindahan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak, pernah dilelong dengan harga melebihi RM100,000 semasa dalam satu lelongan bagi membantu golongan kurang upaya pada 2004.
Dilahirkan di Malaysia, Ping Lian dibesarkan ibunya di Sydney, Australia, di mana dia menerima bimbingan dan pendidikan khusus, yang sedikit sebanyak membantu dalam pembentukan dirinya sebagai seorang artis.
Perjalanan berliku
Perjalanan kehidupan Ping Lian tidak bermula dengan mudah, lebih-lebih lagi selepas didiagnosis sebagai kanak-kanak autisme.
Menurut ibunya, Sarah Lee, ketika itu, dia sendiri tidak tahu mengenai autisme serta kesannya kepada Ping Lian.
“Saya dan suami merupakan graduan tetapi kami langsung tidak tahu apa-apa mengenai autisme. Malahan, ketika itu, tidak banyak sumber yang boleh diperoleh mengenai autisme.
“Pada pandangan saya, seperti mana penyakit lain boleh disembuhkan, saya turut percaya autisme ini boleh sembuh sehinggalah doktor yang merawat Ping Lian menyangkal tanggapan saya,” katanya.
Bagi Sarah, tugas membesarkan Ping Lian merupakan satu tugas yang cukup mencabar bukan sahaja kerana anaknya hiperaktif, dia juga tidak mempunyai kesedaran mengenai bahaya, tidak boleh berinteraksi dengan orang lain serta tidak boleh memegang pen.
Ini sama sekali tidak melunturkan semangat Sarah, dia menggunakan aktiviti mewarna dan melakar gambar sebagai cara melatih motor skill anaknya.
Malah, teknik inilah yang mengubah remaja ini menjadi seorang artis.
“Suatu hari selepas selesai makan ais krim, Ping Lian tiba-tiba melukis gambar yang dipaparkan pada pembungkus ais krim berkenaan. Dan semenjak itu, dia tidak pernah berhenti melukis.”
Ketika itu, Ping Lian baru berusia lapan tahun.
“Semenjak itu, gaya lukisannya semakin berkembang. Malah, kadar kemajuan yang dicapainya juga amat mengejutkan,” kata Sarah.
Kejayaan demi kejayaan
Semenjak hari bersejarah itu, Ping Lian tidak lagi menoleh ke belakang, malah jalanan yang terbentang di hadapannya terus membawa pelbagai kejayaan buat remaja ini.
Selain terbabit dalam pameran lukisan di merata negara, kisah hidup Ping Lian serta kejayaannya menguasai autisme turut dipaparkan dalam pelbagai penerbitan, termasuk di Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Ini termasuklah buku Islands of Genius oleh Dr Darold Treffet serta Adventure in Autism oleh Peter A LaPorta.
Selain itu, kisah hidupnya turut disiar beberapa stesen televisyen luar negara, termasuk rancangan Asia’s Wonder Kids di Channel News Asia.
Pastinya kejayaan paling manis buat Ping Lian adalah pembukaan galerinya yang pertama di Malaysia ketika berusia 15 tahun.
Galeri Art Commune di Kuala Lumpur yang memaparkan pelbagai karya beliau itu diwujudkan dengan kerjasama JPMorgan Chase Foundation.
Jalan masih jauh
Walaupun pelbagai kejayaan sudah dikecapi Ping Lian, namun bagi Sarah, perjalanan hidupnya masih jauh dan Ping Lian masih memerlukan bimbingan daripada mereka yang rapat dengannya.
Menurutnya, walaupun berjaya membentuk Ping Lian menjadi seorang artis yang berjaya, namun cabaran membentuk perkembangan personaliti remaja ini masih perlu dilakukan.
“Saya akui mendidik dan membesarkan Ping Lian merupakan satu beban yang amat berat. Namun saya dengan rela hati sanggup memikul beban ini,” katanya.
Nasihat Sarah kepada ibu bapa dengan anak autisme.
“Jangan menyerah kalah. Anda perlu ada keyakinan pada anak anda walaupun cabaran yang dihadapi terlalu besar.
“Dengan didikan dan bimbingan yang betul, mereka juga boleh berjaya dalam hidup sebagaimana orang lain... dan ini dibuktikan Ping Lian,” katanya.
0 comments:
Post a Comment