Kuala Lumpur: Pasukan pilihan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan masing-masing merakamkan kemenangan penting dalam saingan pusingan kedua, Piala FA, malam ini.
PDRM atau The Cops menyambung rentak garang menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Shah Alam manakala Kelantan kembali ke landasan kemenangan mengetepikan Sarawak 2-1 di Kuching untuk mara pusingan ketiga.
Paling ceria adalah Sime Darby yang berpesta gol membelasah PBAPP FC 5-1 di Stadium MP Selayang, termasuk hatrik daripada penyerang import Serbia, Nemanja Vidakovic pada minit ke-11, 23 dan 56.
Dua lagi jaringan menyusul daripada Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-41 dan Marko Perovic (m-54).
Kemenangan untuk PDRM pimpinan Azman Adnan harus menggembirakan pasukan Sang Saka Biru selepas mencari penawar duka apabila tersingkir pada peringkat suku akhir, musim lalu.
Kejayaan ini menyaksikan mereka layak ke pusingan ketiga berdepan lawan dari Liga Super, Sime Darby.
PDRM membuka tirai jaringan pada minit ke-27 hasil penyudah kemas penyerang import dari Maldives, Ashfaq Ali selepas menerima lorongan kemas daripada Dramane Traore.
Tuan rumah yang agresif menambah gol kedua pada minit ke-40 selepas Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola hantaran Ashfaq dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Fazli Paat.
Tersentak, Sabah memasukkan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf pada minit ke-44, namun PDRM bertambah kukuh dengan gol ketiga menerusi tandukan Traore pada masa kecederaan.
Di Kuching, Kelantan yang tewas 0-4 kepada PDRM dalam saingan Liga Super di Kota Bharu menampilkan wajah baharu dan berjaya mendahului seawal minit ke-2 hasil jaringan pemain import dari Colombia, Erwin Carillo.
Namun, Sarawak tidak mengalah dan dengan sorakan padu penyokong tempatan mereka dapat mengimbangi cabaran dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 hasil jaringan pemain import dari Australia, Ryan Alan Griffiths.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan memberi aksi bertenaga namun Kelantan lebih tajam dan berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-64 menerusi Emmanuel Kenmogne.
Dalam perlawanan lain, NS Matrik turut ceria menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Paroi manakala bekas juara, Kuala Lumpur menewaskan KL MOC FC 3-1 di Stadium INSPENS, Bangi.
0 comments:
Post a Comment