Taiping: Seorang pelajar perempuan sebuah institut pengajian tinggi maut selepas dipercayai dikelar oleh teman lelakinya dalam kejadian di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Bukit Gantang, di sini tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan membuka pintu keretanya yang diletakkan di lorong kecemasan dan terus terjatuh di atas jalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa, berkata seorang lelaki kemudian keluar dari kereta itu dan menariknya ke tempat besi penghadang jalan sebelum cuba melarikan diri ke hutan berhampiran.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menangkap suspek yang berusia 25 tahun," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.
Katanya, polis turut menemui sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dalam semak berhampiran tempat kejadian dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment