Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 6, 2015

PEKAN : LALUAN MAUT TERUS DIBERI PERHATIAN

Usaha pihak berkuasa dalam mengawal kadar kemalangan tidak bermakna jika pengguna tiada kesedaran sendiri.



Jalan Kuantan-Segamat terus diberi perhatian oleh pihak berkuasa, berikutan peningkatan angka kemalangan melibatkan kematian yang semakin meningkat setiap tahun.

Ketua Polis daerah, Superintenden Yahaya Othman berkata, Jalan Kuantan-Segamat yang terletak dalam daerah Pekan sepanjang 51 Kilometer (KM) itu menjadi laluan panas bagi pengguna yang melaluinya.

Menurutnya, insiden kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kematian kerap berlaku di KM75 hingga KM90 dan situasi tersebut dapat dilihat menerusi statistik kemalangan yang diperoleh setiap tahun.

“Selain itu, Jalan Pekan-Kuantan dan Jalan Pekan-Nenasi-Rompin turut disenaraikan sebagai laluan maut yang perlu diambil perhatian oleh setiap pengguna kerana statistik kemalangan yang membabitkan jumlah kematian agak tinggi di sepanjang jalan terbabit.

“Saya ingin mengingatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui jalan di sini memandangkan peningkatan kes kemalangan terutamanya yang melibatkan kematian," katanya sambil memberitahu kes kemalangan dicatatkan di tiga jalan utama termasuk Jalan Kuantan-Segamat ini semakin meningkat di mana ketiga-tiga jalan tersebut merupakan jalan pilihan pengguna untuk ke daerah Pekan serta negeri bersebelahan seperti Johor.

Menurutnya, pengguna perlu memberi perhatian terhadap amalan berhemah di jalan raya kerana pertambahan jumlah kematian akibat kemalangan amat serius.

Yahaya berkata, sikap negatif pengguna jalan raya tidak dapat diubah melalui usaha pihak berkuasa kerana ia perlu diberi perhatian oleh mereka dalam memastikan perjalanan ke destinasi masing-masing selamat.

“Usaha yang giat dilakukan pihak berkuasa bagi menurunkan kadar kemalangan tidak akan berhasil jika pengguna sendiri tidak mahu mengubah sikap selain memberi perhatian kepada faktor lain yang menyumbang kepada tragedi berkenaan.

“Secara amnya, masih ramai pengguna tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku sebelum ini. Malah, tidak mengendahkan situasi bahaya yang menanti jika mereka cuai ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, beberapa faktor lain yang disenaraikan sebagai punca kepada kejadian kemalangan ialah keadaan fizikal jalan raya serta cuaca seperti keadaan gelap dan hujan.

“Melalui senarai statistik kemalangan yang berlaku juga, kita dapat mengenal pasti waktu kemalangan kerap berlaku sekitar jam 12 tengahari hingga enam petang.

Sementara kemalangan maut pula tertumpu kepada tempoh waktu enam petang sehingga 11 malam. Pihak berkuasa juga tidak seharusnya dijadikan penyebab kepada masalah peningkatan kadar kemalangan dan dakwaan segelintir pengguna bahawa polis tidak melakukan pemantauan bagi mengatasi masalah tersebut tidak wajar sama sekali.

“Pemantauan dan rondaan yang kerap dilakukan oleh pihak berkuasa tidak dapat membantu mengurangkan masalah ini jika pengguna sendiri tidak menggunakan akal ketika berada di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, kerjasama semua agensi berkaitan juga perlu diberi perhatian di mana masalah kadar kemalangan jalan raya boleh diatasi jika usaha terbabit dilakukan secara lebih bersepadu.





0 comments:

share2