Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 6, 2015

KUANTAN : POLIS, SKMM KERJASAMA BURU INDIVIDU HINA TENGKU PUAN PAHANG

Wan Junaidi (kanan) menerima cenderamata daripada Izz Mika’il sempena Lawatan Turun Padang Beliau ke Kompleks Siswaniaga Kolej Poly-Tech Mara Kuantan.


Polis mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengesan individu yang dipercayai terbabit dengan kes menghina Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Individu itu dikatakan terlibat dengan isu kain rentang imej individu berkepala anjing dengan provokasi melampau melalui media sosial Facebook.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan menghina institusi diraja adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, tambahan pula provokasi tersebut dilakukan secara terang-terangan.

“Mengenai isu ini, kita kena tengok semula kandungan Perlembagaan Persekutuan di bawah Raja Berperlembagaan. Jika individu itu dilihat menyalahi Akta Hasutan 1948, siasatan yang lebih terperinci akan dilaksanakan.

“Kerjasama dengan SKMM sedang dilakukan dan selepas individu itu dikesan, dia akan disiasat sebelum kertas siasatan dikemukakan ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata, proses yang dilakukan ini agak rumit dan bukan mudah untuk diselesaikan tanpa siasatan yang menyeluruh.

Beliau menjelaskan terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan institusi diraja boleh dikritik.

“Memang ada peruntukan mengenai perkara ini, tetapi kita boleh mengkritik institusi diraja, namun ia tidak pula sampai membenarkan kita menghina institusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Turun Padang Ke Kompleks Siswaniaga Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi KPTM, Mohd Azis Jamman; Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan Portland Arena Sdn Bhd, Datuk Izz Mika’il Abdullah.

Isnin lalu, wakil dari Istana Abdul Aziz dan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini membuat laporan polis yang meminta siasatan dijalankan terhadap pihak yang menghina kerabat diraja Pahang dalam FB dan kain rentang imej individu berkepala anjing.

NGO terdiri daripada Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Pahang, Persatuan Seni Silat Kuntau Tekpi Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Kuantan, Persatuan Jurufoto Kuantan dan Kelab Bell Belia Tamil Pahang menggesa pihak berkuasa menahan segera individu yang mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Setiausaha Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Pahang, Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad berkata, kain rentang dengan imej individu berkepala anjing di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, pada perlawanan Piala Sumbangsih antara Pahang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini tidak boleh dipandang remeh kerana mencemarkan institusi beraja.




0 comments:

share2