Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menggiatkan lagi perlaksanaan waran tangkap terhadap pesalah-pesalah yang tidak membayar kompaun atau saman letak kereta, pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya akan mengeluarkan waran tangkap bagi mereka yang menangguhkan pembayaran melibatkan tempoh yang terlalu lama.
“Kita tidak akan mengeluarkan waran tangkap sesuka hati malah bertindak dengan melihat kembali mereka yang melakukan kesalahan terlalu lama dan menangguhkan pembayaran kompaun berbulan-bulan atau bertahun lamanya.
“Orang ramai perlu faham bahawa kompaun atau saman yang dikeluarkan tersebut sama ada daripada pihak MPK, Jabatan Pengangkutan Jalan atau Polis merupakan daripada akta yang sama berkaitan pengangkutan jalan.
“Jadi kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang sama, maka tidak ada bezanya dan orang ramai perlu membayarnya bagi mengelakkan masalah lain pula yang akan timbul.
Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan bantuan banjir, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, semalam.
Menurutnya, dengan itu semua pesalah-pesalah yang sudah menerima waran diminta memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan kes mereka.
“Bagi tahun lepas sebanyak kira-kira 100 waran tangkap berjaya dikeluarkan dan sebanyak 50 pesalah yang berjaya tampil menyelesaikannya.
“Namun, sehingga tempoh sebulan pertama bagi tahun ini, sebanyak 20 waran tangkap sudah diselesaikan dan perlaksanaannya akan dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa.
“Pihak kami tidak berkompromi lagi dengan kelewatan dan tindakan pesalah yang cuba mengelak untuk menjelaskan kompaun atau saman dan dengan itu ianya akan dihantar terus ke rumah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, tambahnya, semua pesalah yang terlibat diminta untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan atau Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan MPK bagi membuat penyelesaian.
Sementara itu, dalam program diadakan, dekat sini, semalam, kira-kira 350 orang mangsa banjir di sekitar Kuantan termasuk warga kerja MPK menerima bantuan berbentuk baucer Tunas Manja bernilai RM150 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM52,500 yang disumbangkan sebuah syarikat pemaju, Adenland.
0 comments:
Post a Comment