Foto CCTV
Polis Kuantan kini sedang mengesan dua lelaki yang terbabit dalam kejadian ragut dua mahasiswa sebuah kolej di Batu 5, Jalan Gambang dekat sini, baru-baru ini.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di Taman Guru, kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika dua mangsa berkenaan melalui kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 20 tahun mengalami luka di badan dan seorang daripada mereka patah tangan.
Bagaimanapun, kedua mangsa itu bernasib baik kerana dibantu seorang wanita yang menjerit meminta bantuan penduduk taman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, seorang mangsa mengalami kerugian RM50 selepas wang tunai yang baru dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik disamun.
Menurutnya, peragut sanggup menyentap beg mangsa sehingga kedua-duanya tersembam di atas jalan raya.
“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dengan bantuan orang awam untuk rawatan lanjut,” katanya.
Rakaman CCTV berdurasi lapan saat yang tersebar luas di laman sosial Facebook itu mendapat kecaman pelbagai pihak supaya polis bertindak ke atas peragut kejam itu.
Abdul Aziz berkata, polis akan bertemu dengan pemilik CCTV itu bagi membantu siasatan lanjut selain akan berusaha mengesan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek.
Selain itu, katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kini giat meningkatkan rondaan di tempat kejadian bagi mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment