Kuantan – Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum) membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan selepas menerima ugutan dan makian daripada individu yang tidak dikenali.
Presiden Perkum, Noor Hazira Mohd Noor berkata, beberapa OKU yang menjalankan perkhidmatan urutan refleksologi di Teluk Cempedak telah didatangi individu itu yang mengugut agar mereka menghentikan operasi serta merta.
Menurutnya, mereka beralasan, sudah ada tempat urutan refleksologi di tempat berkenaan sebelum kedatangan khidmat OKU di sini.
“Pihak kami sudah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk membuka tapak bagi aktiviti urutan refleksologi di kawasan itu dan tidak perlu meminta kebenaran pihak lain.
“Selepas dibuka pada Disember 2014, mereka (OKU) didatangi oleh beberapa individu yang mengugut dan mencaci mereka agar berpindah ke tempat lain jika mahu selamat.
“Aktiviti kami bagaimana terpaksa ditangguhkan sementara berikutan keadaan cuaca dan musim banjir. Oleh itu, pada 30 Januari lepas, mereka (OKU) mahu membuka semula tapak refleksologi ini, tetapi peralatan mereka seperti kerusi telah digunting dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Di samping itu juga, mereka (OKU) terus menerima ugutan dan makian berbentuk pesanan ringkas daripada individu yang menggelar diri sebagai ‘Tengku’.
Noor Hazira berkata, seramai empat orang OKU cacat penglihatan memulakan aktiviti urutan refleksologi di sini pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam.
“Sehingga kini, atas faktor keselamatan, mereka (OKU) berehat seketika dan selepas keadaan reda, aktiviti urutan akan disambung semula.
“Saya sendiri tidak faham kerana golongan celik ini berasa kurang senang dengan usaha OKU seperti kami bekerja meraih pendapatan.
“Tidak banyak kerja yang mampu dilakukan oleh OKU cacat penglihatan ini. Sokongan orang sekeliling penting untuk kami berusaha mencari sumber rezeki sama seperti mereka,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Presiden Perkum, Mohammad Faiz Asangku Abdullah
Sehubungan itu, beliau berharap agar masalah ini dapat diatasi segera tanpa melibatkan mana-mana pihak untuk kesejahteraan bersama.
Menurutnya, OKU juga mempunyai hak untuk teruskan hidup sama seperti orang lain untuk teruskan hidup.
Kehidupan mereka jauh lebih susah berbanding golongan yang celik kerana pergerakan yang terbatas.
“Penglihatan kami bermasalah dan kami tidak mahu mencari pasal dengan mana-mana pihak kerana akibatnya akan ditanggung sendiri oleh kami juga,” katanya.
0 comments:
Post a Comment