Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 8, 2015

JANGAN AIBKAN ORANG LAIN, KATA SHABERY


Ahmad Shabery beramah mesra bersama Jins Shamsuddin semasa menziarahi beliau di kediamannya di Hulu Kelang.Turut kelihatan isteri Jins Shamsuddin, Puan Sri Halijah Abdullah.


Kuala Lumpur - Masyarakat perlu lebih beretika dalam menggunakan media sosial, dan mengelak daripada menyiarkan perkara yang boleh mengaibkan orang lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua perkara boleh dikongsikan dalam laman sosial.

“Saya rasa sangat sedih dan kecewa apabila foto yang mungkin tidak disenangi keluarga dan empunya badan (disiarkan) ... di sini perlunya pertingkatkan etika diri kita sendiri terutama dalam menggunakan media sosial.

“Boleh ambil (gambar) tetapi bukan untuk dikongsi dengan orang ramai. Ada waktu orang rasa perkara itu mengaibkan diri dia dan kita kena ingat kerana apabila kita mengaibkan orang, satu masa nanti orang akan aibkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menziarahi seniman negara Tan Sri Jins Shamsudin, yang juga bekas anggota Dewan Negara di rumahnya di Hulu Kelang di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata demikian bagi mengulas penyebaran gambar Jins Shamsudin yang berbaju singlet dan berkain pelikat dengan memperlihatkan susuk tubuhnya yang kurus di sebuah laman blog, yang dikesali oleh anggota keluarganya.

Beliau berkata sekiranya semua pihak lebih berhati-hati dalam menyiarkan sesuatu maklumat dan mengelak daripada menyiarkan perkara yang tidak sepatutnya, ini akan dapat mewujudkan masyarakat yang lebih beretika.

Ketika ditanya mengenai trend berbalas kenyataan dalam media sosial dalam kalangan ahli politik mengenai sesuatu isu, Ahmad Shabery berkata pihaknya amat bimbang jika tindakan itu menuju ke arah politik yang membangkitkan kemarahan rakyat.

“Dalam waktu sekarang lebih baik kita berfikir bagaimana untuk hidup bersama dan memerlukan politik kasih sayang, politik memaafkan dan politik untuk mengambil hati, kerana dalam hidup kita bukan berkira siapa yang menang bila kita bertelagah ... kalau hari-hari bertelagah, takkan habis, “ katanya.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya cari jalan untuk hidup bersama-sama, saling memahami dan berfikir bagaimana untuk bertolak ansur antara satu sama lain.

“Masalah berlaku apabila sosial media tidak digunakan untuk tujuan mengembangkan semangat sayang, tetapi untuk mencari perbezaan, ia akan menjadi daripada isu menjadi konflik, daripada konflik menjadi krisis dan daripada krisis menjadi huru-hara,” katanya.

0 comments:

share2