Marang - [VIDEO] Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terus meragui kehadirannya pada mesyuarat Mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Kuala Lumpur, esok.
Menurut Abdul Hadi, Guan Eng sama sekali tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan sama ada beliau akan hadir ataupun tidak dalam mesyuarat itu.
“Dia tak berhak nak tentukan sama ada saya patut hadir atau tidak mesyuarat. Terpulang pada sayalah nak hadir atau tak mahu hadir. Saya bukan anak murid sekolah (untuk ikut cakap dia). Itu hak saya,” tegasnya ketika ditemui di kediamannya di Rusila di sini, semalam.
Ditanya sama ada beliau akan hadir mesyuarat itu sebagaimana yang dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebelum ini, Abdul Hadi berkata: “Kita tengok dulu, kita tengok (pada) hari mesyuarat inilah sama ada saya hadir atau tidak. Saya tidak bergantung kepada (arahan) sesiapa.”
Pemimpin Pas itu berkata demikian ketika diminta mengulas peringatan Guan Eng kelmarin, bahawa Mesyuarat Pimpinan PR itu tidak akan diadakan jika Abdul Hadi tidak hadir.
Menurut Guan Eng, tarikh mesyuarat telah ditetapkan dan semua parti dalam pakatan perlu memberi komitmen untuk menghadirinya.
Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, jika dibandingkan dengan Setiausaha Agung DAP yang jawatannya sendiri masih belum disahkan, beliau (Abdul Hadi) lebih kerap menghadiri mesyuarat itu sejak dahulu.
Bagaimaapun katanya, ada masa tertentu beliau terpaksa untuk tidak hadir atas sebab kesihatan.
“Saya lebih banyak hadir mesyuarat (pembangkang) daripada Guan Eng. Dia paling banyak tidak hadir mesyuarat. Saya paling banyak hadir kecuali semasa sakit atau uzur.
“Masa saya jadi MB (Menteri Besar Terengganu) dulu pun, saya hadir tiap-tiap mesyuarat (parti pembangkang). Saya tak sibuk macam Ketua Menteri Pulau Pinang (Guan Eng). Kalau sibuk pun saya mesti hadir mesyuarat,” sindirnya.
“Kena check (semak) betul-betul dari segi kehadiran, siapa paling banyak tak hadir mesyuarat,” katanya lagi.
Ditanya mengenai harapan beliau berkaitan isu berbangkit termasuk hal pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP sama ada boleh diselesaikan dalam mesyuarat esok, Abdul Hadi berkata, semua yang hadir akan membincangkan perkara itu.
Namun, katanya, Pas sejak 1970-an lagi mengambil pendirian tidak menyokong pilihan raya PBT.
“Masalah yang ditimbulkan itu (isu pilihan raya PBT) masalah lama. Ini sikap Pas sejak 1970-an lagi dan sikap kita, tak setuju (pilihan raya PBT diadakan).
“Sampai kita masuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sehingga kita masuk Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat (PR), ini bukan benda baharu,” katanya.
Abdul Hadi berkata, dalam perjuangan Pas, soal kebajikan dan kepentingan rakyat perlu dijaga dan bukannya terbatas kepada penduduk bandar.
Sumber
0 comments:
Post a Comment