PUTRAJAYA - Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili optimis perjanjian utama penstrukturan industri bekalan air Selangor dapat dimuktamadkan pada 9 Mac setelah dua kali ditangguhkan sebelum ini.
Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali jika beberapa isu yang dibangkitkan terutama isu pengambilalihan aset air tidak dapat diselesaikan menjelang tempoh itu.
"Masalah timbul kerana ada aset iaitu di Semenyih dan Bukit Nanas yang pada mulanya dikenali sebagai aset negeri Selangor tetapi apabila diteliti ia adalah milik kerajaan persekutuan.
"Walaupun tanah adalah milik kerajaan persekutuan tetapi infrastruktur adalah milik konsesi jadi mereka berpandangan boleh digunakan sebagai cagaran... Jadi inilah yang sedang dibincangkan bersama dan saya belum berputus asa," katanya.
Ongkili berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Perjanjian utama penstrukturan industri air Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan pada 12 Januari lepas ditangguhkan ke 9 Februari dan sekali lagi ke 9 Mac ini susulan isu berkaitan pemindahan aset air antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. - Bernama
0 comments:
Post a Comment