Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 25, 2015

JERANTUT / TEMERLOH : 4 PENGEDAR DADAH DITAHAN


Polis menahan tiga lelaki warga tempatan disyaki penagih dan pengedar dadah di tempat letak kenderaan dekat Taman Tasik Temerloh pada pukul 5.15 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata terdahulu tiga lelaki berusia 20-an terbabit dilihat berlegar-legar dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja di kawasan berkenaan.

"Semasa melakukan tugas rondaan, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD (Ibu pejabat Polis Daerah) Temerloh yang mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan itu telah bertindak menahan kenderaan mereka sebelum membuat pemeriksaan.

Selepas memberhentikan kereta, salah seorang suspek telah mencampakkan sebuah beg di bawah kereta yang dinaiki mereka dan hasil pemeriksaan polis menemui tiga paket plastik lutsinar dan satu keratan tiub penyedut minuman disyaki dadah jenis heroin dan syabu serta beberapa peralatan menghisap dadah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama suspek juga cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis selepas berlaku sedikit pergelutan. 

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah itu dan mengakui mendapatkan bekalan dadah jenis heroin dan syabu daripada seorang lelaki di kawasan Gombak, Kuala Lumpur baru baru ini.

"Kesemua suspek yang turut positif dadah itu kini ditahan di IPD Temerloh untuk bantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2), 12 (2) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Sementara itu di Jerantut pula, seorang tukang 
cat kereta berusia 42 tahun juga diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar Murni dekat Jerantut tengahari semalam. 

Ketua Polis Daerah Jerantut Suprintendan Azid Ismail berkata, serbuan pukul 12.40 tengah hari yang diketuai Inspektor Abang Annuar Abang Kaderi itu turut menemui 339 biji pil kuda bernilai RM6,500 dan syabu seberat 12.25 gram bernilai RM6,000. 

"Turut disita sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah Jerantut," katanya. 

Azid berkata, suspek yang positif dadah itu kini ditahan di IPD Jerantut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan 15(1) ADB 1952.

0 comments:

share2