Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 24, 2015

ZAMANI MAAFKAN PENYEBAR RAKAMAN


Video yang menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial.


Penyanyi, Zamani Slam dilaporkan telah memaafkan individu yang menyebarkan videonya menyanyi semasa bergari dan menjadi viral di laman sosial sejak Rabu lalu, lapor sebuah portal.

Memetik laporan itu, abang pelantun lagu Gerimis Mengundang itu, Zulfazli Ibrahim berkata, Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan dan meminta agar perkara itu tidak dipanjangkan. 

"Dia sendiri yang minta agar isu ini tidak dipanjangkan dan sudah memaafkan individu itu. Saya dan keluarga akur dengan permintaan itu. Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan. 

"Saya tahu berkenaan penahanan dan video itu hanya selepas dimaklumkan rakan,” katanya selepas melawat Zamani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam. 

Sebelum ini, video berdurasi satu minit 23 saat itu menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.


Akui terkilan dengan perlakuan individu tersebut namun Zulfazli tetap berbangga dengan tindakan adiknya yang sudi memaafkan orang lain.

"Saya agak terkilan dan sedih dengan penyebaran video ini, tetapi, saya bangga dengan dia kerana dalam keadaan menghadapi kes ini pun, dia tetap sudi memaafkan orang yang bertindak begitu," katanya.

Peguam Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar memberitahu kes anak guamnya itu akan disebut di Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa depan.

Sementara itu, pengurus peribadi Zamani, Johan Aziz memberitahu, penyanyi itu meminta agar video tersebut dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Zamani telah menyatakan kemaafan kepada pihak yang merakam video viral itu dan beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap perkara tersebut.

“Beliau juga meminta agar video itu dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak. Saya harap kita semua menghormati keputusan Zamani,” katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya, semalam.

Beliau turut memaklumkan Zamani berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan yang baik oleh pihak polis.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan kami berjumpa Zamani. Alhamdulillah dia dalam keadaan sihat dan diberi layanan yang baik oleh pihak polis,” katanya.

0 comments:

share2