Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 24, 2015

PERALATAN KOMUNIKASI DILARANG BAWA MASUK KE LOKAP


Noor Rashid Ibrahim


Kuala Lumpur - Sebarang bentuk peralatan komunikasi tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam lokap termasuk oleh anggota dan pegawai polis yang bertugas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata polis pernah mengeluarkan arahan itu sebelum ini.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan sekiranya polis mengambil gambar atau merakam video tahanan di dalam lokap lalu disebarkan ke laman sosial seperti yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.

"Kalaulah gambar (video) ini diambil anggota polis yang menjaga lokap, ini telah melanggar arahan yang memang sedia ada, maka ini satu kesalahan yang serius dan boleh diambil tindakan tatatertib," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan 144 motosikal kepada Angkatan Tentera Malaysia di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau mengulas rakaman video berdurasi satu minit 23 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan seorang penyanyi lelaki sedang menyanyikan sebuah daripada lagu popularnya dalam keadaan tangan digari ketika dalam tahanan.

Ia mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi itu.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya telah mengenal pasti anggota polis yang terbabit merakam dan menyebarkan klip video itu.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang terbabit sama dalam kes berkenaan.

Rabu lepas, penyanyi itu dan teman wanitanya ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat.

0 comments:

share2