Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 20, 2015

TOK AWANG SELAMPIT : BILA BUKIT DITARAH, KOLAM DAN PAYA DITAMBUN...



Berkali-kali Tok nyatakan bahawa banjir besar kali ini bukan semata-mata disebabkan oleh pembalakan. Ianya juga disebabkan oleh penerokaan tanah untuk pembangunan serta perladangan . Di bandar-bandar ianya kebanyakannya disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna.

Ada dikawasan tertentu sistem perparitannya masih kekal yang lama sejak dari tahun 60an agaknya dan tidak dinaiktarafkan meskipun bilangan bangunan serta penduduk sudah meningkat. Pihak berkuasa tenpatan perlu lebih peka kepada soal perparitan dan sistem saliran.

Yang penting, bukit-bukau jangan diruntuhkan kerana ianya berfungsi menampan angin serta tidak menyebabkan berlakunya hakisan. Paya serta kolam jangan ditimbus kerana itu adalah tempat dimana air hujan bertakung sebelum mengalir ke sungai-sungai atau meresap ke dalam bumi. Jika itu semua tidak ada, maka air hujan akan melimpah ke jalan-jalan raya dan banjir kilat akan berlaku.

Di Jerantut Tok lihat kawasan yang dulunya paya berhampiran masjid baharu sudahpun ditimbus untuk pembinaan kedai dan perumahan. Di Kuala Lipis, berhampiran bangunan pejabat kerajaan bukit sudah diratakan dan kolam yang ada juga sudah ditimbus. Apa akan jadi pada bumi kita nanti?

Allah jadikan bukit sebagai penahan angin dan paya serta kolam sebagai takungan air, jika kita jadikan dunia ini rata kita ingkari ciptaan Tuhan, dan kita akan terima balasan jika alam juga sudah enggan bersahabat dengan kita. Jika banjir kilat berlaku akibat dari kecuaian kita, apakah kita akan terus menyalahkan perubahan cuaca global?

Dari masjid baru Jerantut, Tok memandang Bukit Kuantan yang semakin 'rebeh' ditarah. Disitu dulu tempat Tok menjerat kancil dan pelanduk. Memandang ke kawasan perumahan baru yang hampir siap berhampiran Pasar Borong, teringat Tok akan kawasan paya dimana Tok memancing puyu dan ruan atau kadang-kala mencari pucuk selayar untuk direbus buat ulam.

Disini kawasan tinggi, dulu tak pernah berlaku banjir tapi tahun ini banyak yang telah 'mengelapung' dan ramai yang turut terpaksa berpindah. Tok rasa nak jumpa 'orang kerajaan' dan tanya kenapa ini semua tak dapat dihalang atau mereka tidak sedar apa yang berlaku?


Tok Awang Selampit.



1 comments:

  • Anonymous says:
    January 20, 2015 at 12:32 PM

    betol dah tu tok awang... jantet ni dulu tak penah banjir kilat skrg ni dh banjir... lepeh tu dkt round about tu dulu ada kolam skrg mmg bukit dh diruntuhkan dn kolam dh ditimbus ... habeh dah lepeh ni weh...

share2