Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 22, 2015

RESTORAN SALAH GUNA KALIMAH ALLAH


Tindakan pemilik restoran terbabit dikritik.


Ipoh - Pihak jawatankuasa Masjid Panglima Kinta, di sini, menggesa pihak berwajib bertindak segera terhadap pemilik sebuah restoran bukan Islam di Jalan CM Yusuf yang memaparkan kalimah ALLAH dan Muhammad di premisnya.

Mengulas lanjut, ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Roslan Ali berkata, pemilik restoran tersebut sudah beberapa kali diingatkan untuk tidak memaparkan lagi kalimah berkenaan, kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan salah faham dalam kalangan umat Islam yang berkunjung ke situ.

Bagaimanapun menurutnya, pemilik restoran berkenaan tetap berdegil dan mahu terus memaparkan kalimah berkenaan di situ.

“Sudah banyak kali kita tegur pemilik restoran. Tetapi mereka tetap degil dengan alasan selagi kawasan sekitar tidak ‘bersih’ daripada aktiviti maksiat, kalimah itu akan terus dipaparkan.

“Oleh itu, saya mewakili semua jawatankuasa dan umat Islam di bandar raya ini menggesa pihak berwajib untuk ambil tindakan segera bertindak berhubung perkara ini,” katanya.

Roslan berkata demikian ketika menyertai rombongan jawatankuasa Masjid Panglima Kinta diketuai Pembimbing Kuliah Dhuha masjid berkenaan, Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abd Aziz ke restoran berkenaan semalam, bertujuan menegur dan menasihati pemilik restoran berhubung perkara tersebut.

Tambah Roslan, premis berkenaan berada di bawah premis yang disyaki sering menjadi lokasi aktiviti-aktiviti maksiat di kawasan berkenaan.

Justeru katanya, adalah bertepatan sekiranya pihak berwajib, khususnya Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) segera bertindak.

Dalam pada itu Wan Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya bimbang jika perkara berkenaan tidak ditangani segera akan ada umat Islam yang akan mengunjungi restoran berkenaan.

"Saya yakin masih banyak restoran di sekitar bandar raya ini menggunakan kaedah sama bagi mengaburi umat Islam untuk melariskan jualan.

“Justeru, kita harap ada tindakan segera supaya kalimah ALLAH dan Muhammad tidak disalah gunakan,” katanya.

Sementara itu, pihak Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), ketika dihubungi berkata, setakat ini mereka tidak ada menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun difahamkan, pihak penguat kuasa agama akan diminta menyiasat lebih lanjut perkara berkenaan.

0 comments:

share2