Antara rumah mangsa banjir di Kelantan
KOTA BAHARU, 1 Jan - Keadaan cuaca cerah dan tidak hujan sejak lima hari lepas membolehkan semakin ramai mangsa banjir negeri ini dibenarkan pulang ke rumah.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Azhar Mohd Yusof berkata sehingga 5 petang, seramai 42,163 mangsa berada di 179 pusat pemindahan di tujuh jajahan berbanding 81,458 orang, Rabu malam (234 pusat/lapan jajahan).
"Paras air sungai utama iaitu Sungai Lebir dan Sungai Tualang di Gua Musang kembali normal manakala Sungai Kelantan yang mengalir melalui Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Baharu sudah turun ke paras berjaga-jaga," katanya kepada BERNAMA, di Kota Baharu, Khamis.
Azhar berkata hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih di paras bahaya iaitu 9.28 meter (bahaya 9.00 meter) pada 2 petang.
Dalam pada itu, keadaan cuaca baik menyebabkan situasi banjir di Kota Baharu, Tumpat, Tanah Merah dan Machang hampir pulih dengan sebahagian besar mangsa dibenarkan pulang ke rumah.
Bagi jajahan Gua Musang dan Kuala Krai yang teruk dilanda banjir sebelum ini, keadaan hampir pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun ramai mangsa masih berada di pusat pemindahan kerana kehilangan rumah, rumah rosak teruk dan kotor serta berlumpur.
Sesetengah kawasan masih digenangi air terutama kawasan Pasir Mas dan Tumpat berikutan Sungai Golok masih di paras bahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keadaan cuaca yang baik itu memudahkan penghantaran bantuan makanan dan keperluan lain kepada mangsa menggunakan jalan darat.
Beliau berkata kerajaan sedang berusaha mencari jalan terbaik menyediakan rumah kepada mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir dengan secepat mungkin kerana sekolah yang menjadi pusat pemindahan akan digunakan pada sesi persekolahan baharu pada 11 Jan ini.
"Jawatankuasa ini telah mendengar beberapa cadangan pasca banjir oleh beberapa pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai pembinaan rumah sementara kepada mangsa banjir," kata Mustapa.
Sementara itu, rata-rata penduduk mengambil kesempatan keadaan cuaca yang baik untuk pulang membersihkan rumah masing-masing.
Mereka dilihat mengeluarkan perabot seperti kusyen, tilam dan almari untuk dibersihkan kerana disaluti lumpur.
"Kami perlu bersih segera sebelum lumpur ini menjadi kering," kata Rogayah Ibrahim, 73, yang bersama anggota keluarga mencuci rumahnya di Kampung Chekok, Pengkalan Chepa.
Beliau yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Seri Chempaka, Pengkalan Chepa, berharap banjir tidak kembali melanda, namun bersedia menghadapi bencana itu jika berlaku.
Alias Mohamad Noor, 55, dari Kampung Tanjung Mas di Kota Baharu, berkata barangan perabot dan peralatan elektrik dalam rumahnya rosak dan tidak dapat diselamatkan kerana air naik mendadak.
"Apapun kami sekeluarga telah membersihkan rumah sejak beberapa hari lepas apabila banjir sudah tiada (surut). Kami harap banjir tidak mari (datang) lagi," katanya.
0 comments:
Post a Comment