Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 9, 2015

PM MINTA SEMUA UNIVERSITI KAJI MASALAH BANJIR



KUALA LUMPUR, 8 Jan - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua universiti tempatan membuat kajian menyeluruh ke arah mengatasi masalah banjir besar yang berlaku baru-baru ini.

Najib berkata pada mesyuarat kabinet baru-baru ini, anggota kabinet membincangkan tentang bencana banjir dan antara perkara yang dibangkitkan adalah keperluan mendapat input (pandangan dan idea) daripada golongan pakar dalam pengurusan pengairan, alam sekitar dan aspek berkaitan.

"Saya mahu semua universiti tempatan memberi input kepada kerajaan dalam merangka dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir dan melakukan persediaan awal untuk masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Menara Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan melancarkan Buku Projek Pembangunan UTM di bawah Rancangan Malaysia ke-9, di Jalan Sultan Yahya Petra (sebelum ini Jalan Semarak) di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kedua Kementerian Pendidikan Prof Datuk Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Menara Razak berharga RM91 juta itu dibina pada 3 Mac 2009 dan siap sepenuhnya pada September 2012.

Di bawah RMK ke-9, UTM Kuala Lumpur mendapat peruntukan berjumlah RM156 juta, projek pembangunan semula kampus yang menukar wajah UTM KL menjadi universiti bertaraf dunia dengan menyediakan kemudahan terbaik.

Pembinaan Menara Razak setinggi 17 tingkat merupakan antara pembangunan di bawah RMK ke-9, menempatkan unit pentadbiran dan sekolah-sekolah baharu dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran.

Najib berkata pembangunan yang mapan dan terkawal perlu dilaksanakan, sebagai contoh penebangan pokok-pokok dan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian, perlu dipantau dan tindakan penguatkuasaan perlu tegas demi memulihara alam semula jadi.

Beliau berkata kerosakan alam sekitar merupakan antara faktor yang menyumbang kepada bencana banjir, pihak penguatkuasa perlu bertindak tegas terhadap peneroka haram dan memastikan kejadian bencana banjir dan tanah runtuh tidak berulang lagi.

"Sebagai contoh, kita boleh kawal berlakunya banjir dengan pembinaan empangan untuk mengawal sistem pengairan seterusnya ia dapat menjana bekalan elektrik," katanya.

Mengenai projek pembangunan UTM, Najib melahirkan penghargaan kepada pihak UTM kerana mengabadikan nama Tun Razak sempena menghargai jasa dan perjuangan beliau terutamanya sewaktu menjadi Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

"Allahyarham Tun Razak mula mengenali Naib Canselor UTM yang pertama, Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, ketika Ainuddin menjemput Tun Razak pulang dari rombongan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dari London, United Kingdom pada tahun 1950-an dulu," katanya.

Kejayaan UTM sekarang memenuhi objektif dan aspirasi penubuhannya dan ia merupakan kebanggaan kepada negara yang boleh dikatakan antara universiti terbaik di peringkat dunia, katanya.




0 comments:

share2