Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 20, 2015

MANGSA BANJIR BERSYUKUR BANTUAN KERAJAAN



Kuala Krai - Rata-rata mangsa banjir menzahirkan kesyukuran atas beberapa inisiatif kerajaan pusat berkaitan usaha membantu memulihkan kehidupan mereka susulan musibah yang melanda bulan lepas.

Ibrahim Samad, 61, yang menetap di Dabong di sini berkata ia menunjukkan kerajaan pusat prihatin dengan nasib rakyat dan tidak membiarkan mereka hidup terkontang-kanting selepas bencana. 

"Walaupun masih bersedih dengan musibah yang melanda, sedikit sebanyak bantuan kerajaan itu dapat memberi kelegaan kepada kami yang sedang berusaha memulihkan kehidupan selepas bencana ini," katanya kepada Bernama. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perutusan khas hari ini mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara, antara lain berkata peruntukan tambahan RM500 juta disediakan sebagai bantuan permulaan untuk kerja baik pulih dan program kebajikan mangsa banjir.

Ia sebagai tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah keseluruhan RM787 juta.

Ibrahim, seorang tukang rumah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, berkata beliau kerugian kira-kira RM30,000 apabila banjir menenggelamkan rumah dua tingkat yang didiaminya sejak berpuluh tahun lalu.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Nik Saniah Nik Man, 29, berkata beliau kehilangan sumber utama pencarian hidup selepas banjir besar itu meranapkan kedai makannya.

"Saya tak tahu bagaimana nak mulakan kehidupan selepas ini kerana hilang punca pendapatan. Bukan sahaja kedai makan roboh, malah kelengkapan kedai turut rosak dan hilang dibawa arus deras. 

"Mujur kerajaan hari ini turut mengumumkan bantuan untuk para peniaga memulakan kembali perniagaan mereka," katanya.

Di GUA MUSANG, hampir 200 keluarga yang ditempatkan di pusat penempatan sementara akibat rumah dihanyut banjir, menarik nafas lega dengan kenyataan Najib berhubung penyerahan 1,000 unit rumah kos rendah yang siap dibina di sini.

Mereka kini mendiami khemah-khemah yang didirikan di Bandar Utama dan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani sejak seminggu lepas. 

Mangsa banjir, Ku Amran Ku Mat, 48, berkata beliau tidak mampu lagi untuk membina rumah sendiri berikutan kos yang tinggi dan ketiadaan tapak rumah kerana selama ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Nerang di jajahan ini. 

"Kita tiada halangan, jika kerajaan memutuskan untuk kami tinggal di rumah itu, terpulanglah. Tetapi kalau boleh tidak adalah bayaran kerana tidak mampu berbuat demikian," katanya. 

Mariam Jusoh, 35, turut mengharapkan kerajaan menyediakan rumah tanpa dikenakan bayaran.

0 comments:

share2