Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 5, 2015

LANGKAH PENCEGAHAN ELAK PENYAKIT BERJANGKIT


Kuala Lumpur - Kementerian Kesihatan menggariskan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak penyakit berjangkit terutama ketika berlakunya bencana banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah penting bagi pencegahan penyakit berjangkit seperti keracunan makanan, cirit-birit dan leptospirosis semasa dan selepas banjir.

"Langkah-langkah pencegahan adalah seperti sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas, minum air yang telah dimasak atau air yang telah dibotolkan dan elak minum air yang tidak dimasak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penduduk yang terjejas banjir khususnya perlu mengelak daripada memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman selain segera makan makanan yang telah dimasak dan elakkan menyimpan makanan tersebut melebihi empat jam.

Selain itu, orang awam juga perlu mengelak daripada berenang atau bermain air di kawasan banjir, menutup luka-luka kulit dengan balutan yang kalis air dan memakai pakaian perlindungan kalis air seperti but getah dan sarung tangan semasa melakukan kerja pembersihan. 

"Selepas terdedah kepada air banjir (contohnya mengharung air banjir) perlulah mencuci atau basuh bahagian tangan yang terdedah dengan air bersih dan sabun, sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami gejala penyakit seperti demam dan cirit-birit," katanya.

Sementara itu, mengulas paparan Twitter Pejabat Media Perdana Menteri mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak terkena jangkitan bakteria (Escherichia coli) E.coli, Dr Noor Hisham berkata jangkitan itu boleh dirawat dan lebih banyak maklumat sedang dikumpul bagi mengetahui punca wabak penyakit berkenaan.

"Saya tidak ada maklumat lanjut mengenai perdana menteri tetapi secara amnya kita harus berwaspada dengan kebersihan makanan, air dan sanitasi. E-coli adalah kuman yang boleh menyebabkan cirit-birit," katanya.

Beliau berkata kementerian juga masih menyemak mengenai situasi wabak penyakit E.coli itu di negara ini, memandangkan ia pernah menyerang beberapa negara Eropah tahun lepas.

E.coli boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam dan paling bahaya ialah dehidrasi atau penyahhidratan yang boleh membawa maut.

Najib sebelum ini mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan banjir serta memantau usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

0 comments:

share2