Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 29, 2015

KUANTAN: PENIAGA 'UBAT KUAT' TIDAK SERIK


Pegawai penguat kuasa mengambil keterangan peniaga warga emas yang ditahan dalam serbuan di Jalan Wong Ah Jang.


Kuantan - Penjualan ubat perangsang bukan lagi perkara baharu, malah sudah menjadi perkara biasa kepada mereka yang menjadi pelanggan tetap produk-produk terbabit.

Hanya berbekalkan meja kecil di ruang kaki lima premis, peniaga ubat kuat ini berjaya menarik perhatian pelanggan. Malah tidak dinafikan peniaga tegar ini mempunyai pelanggan tetap yang sering mendapatkan ubat terlarang itu.

‘Port’ panas yang menjadi lubuk mereka mencari rezeki seperti di Jalan Pasar dan Jalan Wong Ah Jang sentiasa rancak dengan aktiviti jualan ubat perangsang seks berkenaan.

Bagi peniaga ubat terlarang itu, mereka mencari makan dengan menjual pelbagai jenis ubat perangsang sejak sekian lama.

Tidak pernah serik

Walaupun tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan, namun mereka tidak serik malah tetap meneruskan aktiviti jualan mereka seperti biasa selepas disabitkan di mahkamah.

Peniaga yang berstatus warga emas berusia 52 tahun itu memberitahu, dia sudah dua kali ditahan dan disabitkan di mahkamah atas kesalahan menjual ubat terlarang itu sebelum ini.
Bagaimana pun, dia tetap meneruskan aktiviti itu selepas kes mahkamah selesai.

“Nak buat kerja apa lagi, kerja ini sahaja yang saya boleh buat,” demikian kata warga emas terbabit selepas ditahan dalam Operasi Membanteras Penjualan Ubat-Ubatan Tidak Berdaftar dan Dicemari Racun Berjadual di sekitar Kuantan oleh Cawangan Penguat kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Jalan Wong Ah Jang, di sini, semalam.

Warga emas terbabit mengakui menjual ubat perangsang seks haram sejak beberapa tahun lalu sebagai punca rezeki malah mengetahui operasi sering diadakan.

Katanya, disebabkan tiada pekerjaan lain yang boleh dilakukan menyebabkan dia tidak serik walaupun sudah ditahan sebelum ini.

Cerita sama turut dikongsi oleh seorang peniaga ubat perangsang seks di Jalan Pasar di sini. Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu mengakui memang menjadikan aktiviti jualan ubat kuat itu sebagai sumber pendapatan.

Malah dia turut membawa isteri dan seorang anak kecil berusia kira-kira dua tahun ketika berniaga di kaki lima di sebuah premis di situ.

“Saya memang buat kerja ini, siang tak buat apa-apa. Hanya menjual ubat kuat pada waktu malam. Dari saya bujang sehinggalah saya mempunyai seorang anak,” katanya.

Lelaki itu turut berkongsi bahawa kebanyakan pelanggannya adalah golongan warga emas.

“Orang tua yang banyak beli ubat kuat yang saya jual dengan harga RM10-RM30 sebiji. Tengok kepada jenis ubat juga. Permintaan tinggi menyebabkan saya sanggup jual ubat-ubat terlarang ini,” katanya.

Menurutnya, selain ubat perangsang seks, kopi yang mengandungi bahan terlarang juga semakin menjadi pilihan ramai.

Serbu tujuh premis

Sementara itu, Ketua Unit Operasi merangkap Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Kamaruzzaman Othman berkata, dalam operasi terbabit, sebanyak tujuh premis diserbu oleh pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada 25 pegawai dan empat anggota polis.

Beliau berkata, dalam serbuan bermula jam 9.30 malam dan berakhir jam 11 malam itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis ubat perangsang seks yang didapati tidak berdaftar dan mempunyai racun berjadual.

“Kebanyakan premis yang diserbu adalah kes berulang dan ada juga premis baharu yang dikenal pasti.

“Selain itu, kami mendapati penjualan kopi yang mempunyai bahan terlarang semakin berleluasa malah status kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubatan tersebut juga tidak dapat dipastikan.

“Kebanyakan produk-produk yang dirampas dikesan mengandungi bahan kimia bahaya seperti sildenafil dan tadalafil yang boleh membawa maut,” katanya.
Kamaruzzaman berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000.

Beliau berkata, peniaga yang ditahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

0 comments:

share2