Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 5, 2015

KUANTAN: BERSABUNG NYAWA HANTAR BANTUAN


Krew helikopter JBPM membawa keluar pelancong di Taman Negara (gambar kiri) serta menurunkan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.



Kuantan - Tugas sebagai juruterbang helikopter dalam misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir besar yang melanda beberapa negeri amat berisiko namun atas tanggungjawab yang diamanahkan, segala cabaran terpaksa ditempuhi bagi memastikan bekalan selamat sampai kepada mangsa.

Adakalanya penerbangan itu berdepan detik mencemaskan hingga mengundang bahaya kepada juruterbang dan krew terlibat.

Bagi juruterbang helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Che Hamdan Hamzah, mengendalikan helikopter tidak semudah memandu kenderaan darat kerana banyak prosedur terpaksa dipatuhi bagi memastikan setiap penerbangan yang dilakukan selamat.

Menurutnya, dia yang terlibat dalam misi penyelamatan dan penghantaran bekalan banjir di kawasan teruk terjejas baru-baru ini terpaksa melalui detik-detik cemas beberapa kali namun segalanya berjaya dilalui dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Antara halangan yang dilalui termasuk keadaan cuaca buruk selain ketiadaan kawasan pendaratan yang sesuai.

“Antara pengalaman getir yang kami lalui termasuk ketika menghantar bantuan makanan dari Sekolah Menengah Agama Bachok ke Manik Urai, Kelantan kerana ketika itu kami tidak menemui kawasan yang sesuai untuk mendaratkan helikopter sehingga memaksa anggota diturunkan menggunakan tali untuk menebas semak sebagai tempat pendaratan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan TUDM Batu 10 dekat sini, kelmarin.

Che Hamdan berkata, ketika itu helikopter yang dikendalikannya membawa bekalan seberat 10 tan bersama 14 krew yang bertugas.

“Keadaan ketika itu terlalu sukar dan agak mencemaskan kerana jika tersilap langkah helikopter boleh terhempas dan mengancam nyawa kami semua,” katanya.

Beliau yang juga Komander Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) berkata, kesukaran yang dihadapi itu adalah antara situasi mencemaskan yang perlu dilalui bagi memastikan bekalan di hantar pada mangsa banjir dengan cepat dan sistematik.

“Kadang-kadang kami terpaksa berlegar-legar di udara untuk mencari kawasan pendaratan yang sesuai.

“Kami juga terpaksa mengambil risiko menempuh cuaca buruk untuk menghantar bekalan di kawasan yang sebahagian besarnya ditenggelami air banjir,” katanya.

Menurutnya, peranan yang dimainkan Paskub cukup mencabar kerana ia bukan hanya melibatkan penghantaran bantuan sebaliknya turut membabitkan misi menyelamatkan dan pemindahan mangsa yang terperangkap.

Hamdan berkata, setakat ini JBPM melakukan lebih 40 penghantaran bekalan makanan ke semua negeri pantai timur yang terjejas akibat banjir.

“Selain masalah cuaca dan lokasi pendaratan, juruterbang juga berdepan masalah melibatkan orang ramai ketika mendarat kerana ada beberapa kes, mangsa banjir meluru ke arah helikopter yang baru mendarat untuk mengambil makanan yang dihantar,” katanya.

0 comments:

share2