Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 29, 2015

JERANTUT: RUMAH BAHARU UNTUK MANGSA BANJIR


Ahmad Shukri (tiga, kiri) menyampaikan bantuan makanan pasca banjir kepada seorang mangsa banjir di Kampung Bukit Rang, kelmarin.


Jerantut - Kerajaan negeri menerusi projek Pembangunan Luar Bandar (PLB) memperuntukkan RM6 juta untuk projek perumahan di Sungai Siam, berdekatan Simpang Jengka Lapan, di sini tahun ini.

Adun Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, projek kediaman sebanyak 137 unit antara alternatif kerajaan untuk penempatan semula penduduk yang kerap diancam banjir setiap tahun.

Menurutnya, penduduk berkenaan sudah dipilih berasaskan mereka sudah lama menetap di Sungai Siam dan kawasan berdekatan, manakala rumah mereka kerap terjejas teruk setiap kali banjir melanda pada musim tengkujuh.

“Ini penempatan baharu di tempat yang lebih tinggi dan selamat berdekatan Jalan Persekutuan Lama Jerantut ke Maran merupakan mekanisme kerajaan menerusi PLB selaras dengan transformasi bidang sosial.

“Kerajaan menitikberatkan kebajikan penduduk berdekatan Sungai Siam yang kerap dilanda banjir setiap tahun dan kesulitan penduduk berkenaan sudah lama diajukan menerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mendapat perhatian mesyuarat tindakan pembangunan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan pasca banjir kepada warga emas di Kampung Bukit Rang, di sini kelmarin.

Ahmad Shukri berkata, Risda agensi pelaksana di bawah PLB negeri ini akan menyelenggarakan projek dari segi pelantikan konsortium pembinaan, kerja kesesuaian tanah dan tapak dan perancangan kemudahan asas di situ.

“Menerusi perjanjian ini, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sehingga ini bersedia membangunkan projek kediaman itu dalam masa terdekat dengan kos RM63,000 setiap rumah,” katanya. 

Beliau berkata, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga memperuntukkan RM11 juta menerusi projek PLB di daerah ini untuk menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana lain di lokasi itu.

Menurutnya, status projek kediaman berkenaan antara mekanisme perancangan kerajaan negeri mewujudkan pusat pertumbuhan baharu di Simpang Jengka Lapan yang menjadi transit kenderaan dari Maran, Bandar Jengka dan Jerantut.

“Projek itu juga memberi peluang golongan berkeluarga memiliki kediaman tetap dan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan pelancongan,” katanya.

0 comments:

share2