Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 24, 2015

DISANGKA HILANG DI LAUT


Mohd Alif menceritakan apa yang berlaku kepada anggota polis dan isterinya (kiri) sebelum dia ditemui.


Besut - Pengunjung pusat perkelahan pantai Bukit Keluang, di sini gempar apabila dua lelaki yang sebelum itu dilihat sedang mandi-manda dan berenang tiba-tiba hilang serta dikhuatiri lemas pagi semalam.

Bagaimanapun kira-kira tiga jam kemudian kedua-dua mereka muncul semula sambil berjalan di tepi pantai menuju tempat mereka mula turun.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi apabila Mohd Alif Abdul Aziz, 27, dan rakannya Raja Ahmad Hasbullah Raja Ismail, 24, dari Perumahan Awam Kos Rendah Kampung Raja II dekat sini tiba di pantai itu untuk berenang.

Selepas memakai pakaian renang mereka meninggalkan pakaian bersama kad pengenalan termasuk kunci motosikal di tepi pantai tempat mereka turun ke laut.

Seorang guru agama bersama sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang kebetulan berada berhampiran melihat kedua-dua lelaki itu sedang berenang ke arah tengah laut.

Guru itu yang enggan dikenali berkata, dia melihat kedua lelaki itu berenang ke arah tengah laut dan selepas itu dia beredar ke tempat lain tidak jauh dari situ bersama pelajarnya.

Tidak lama kemudian sekumpulan lagi pelajar MRSM bersama guru tersebut tiba di tempat itu dan mendapati kedua lelaki tersebut tidak kelihatan lagi berenang di permukaan air.

Bimbangkan kemungkinan kejadian buruk berlaku terhadap dua lelaki tersebut, guru itu bertindak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Tidak lama kemudian gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan JPAM.

Muncul selepas tiga jam 

Namun tiga jam kemudian kelibat dua lelaki sedang berjalan kaki dari arah pantai kira-kira 300 meter dari arah Kuala Besut menuju ke tempat itu sambil memegang pelampung menjadi tumpuan ahli keluarga lelaki tersebut.

Ahli keluarga termasuk isteri Mohd Alif yang tidak dapat menahan perasaan meluru mendapatkan keduanya kerana sebelum itu terkejut apabila diberitahu suaminya dikhuatiri hilang dan lemas.

Mohd Alif ketika ditemui memberitahu, selepas turun ke pantai itu, dia bersama Raja Ahmad berenang selama satu setengah jam untuk sampai ke Pulau Rhu sebelum berpatah balik tidak lama kemudian.

Menurutnya, selepas berenang kira-kira separuh perjalanan untuk sampai balik ke pantai Bukit Keluang dia sempat melihat jam yang sudah hampir 11.30 pagi dan beranggapan perlu pulang segera untuk menunaikan solat Jumaat lalu menahan sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Kami mendarat kira-kira satu kilometer dari pantai Bukit Keluang tempat kami mula berenang.

"Kami kemudian berjalan kaki untuk mendapatkan pakaian semula dan terkejut apabila melihat pasukan menyelamat serta ahli keluarga berada di pantai Bukit Keluang.

“Saya semakin terkejut apabila ahli keluarga termasuk isterinya meluru mendapatkan saya sambil menangis apabila tiba pada jarak 200 meter ke pantai itu,” katanya yang mengusahakan premis kedai pengantin di sini.

Mohd Alif berkata, sudah menjadi aktiviti rutin dia bersama Raja Ahmad berenang setiap hari sejak dua bulan lalu sebagai latihan dan senaman untuk menyihatkan badan,” katanya.

0 comments:

share2