Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 20, 2015

BOM PENINGGALAN PERANG DUNIA KEDUA DITEMUI


Pasir Mas - Seorang pemandu jengkaut menemui sebutir bom, dipercayai bahan letupan peninggalan Perang Dunia Kedua di tapak pembinaan benteng milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Sungai Kelantan di Kampung Kubang Pak Amin di sini, semalam. 

Asmanizam Ibrahim, 31, berkata beliau menemui bom seberat 113 kilogram itu pada 5.30 petang semalam ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengorek pasir bagi pembinaan benteng untuk mengairi kawasan sawah padi.

"Pada mulanya saya ingat tong gas yang digunakan untuk kerja-kerja kimpalan bagi pembinaan benteng itu, jadi saya meneruskan kerja-kerja mengorek pasir seperti biasa sehinggalah melihatnya secara dekat dan menyedari yang disangka tong gas tersebut adalah sebiji bom.

"Sebaik sahaja menyedari ia adalah bom, saya terus memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan digerakkan ke lokasi kejadian dan bom berkenaan selamat diletupkan oleh anggota unit berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi," katanya.

0 comments:

share2