Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 25, 2015

BEKAS RAJA PERMAISURI AGONG MANGKAT




KUALA TERENGGANU 24 Jan. – Bekas Raja Permaisuri Agong, Tengku Ampuan Intan Zaharah Tengku Setia Raja yang juga nenda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat pada usia 87 tahun di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.26 petang tadi.

Sehubungan itu, kerajaan ne­geri menetapkan tempoh berkabung selama 40 hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan dan bendera negeri juga diarahkan supaya dikibar separuh tiang.

Tengku Ampuan Intan Zaharah berkahwin dengan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu Sultan Terengganu ke-14 pada 3 April 1944 di Kuala Terengganu dan dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah adalah Yang di-Pertuan Agong yang keempat dari tahun 1965 hingga 1970.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dalam sidang akhbar di sini lewat petang ini memberitahu, jenazah Almarhum dijangka tiba kira-kira pukul 10 pagi esok di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebelum dibawa ke Istana Maziah dan dijangka dikebumikan di Makam Diraja berhampiran Masjid Abidin di sini selepas solat zohor.

“Orang ramai yang ingin menziarah dan memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari manakala bagi golongan kenamaan pula, waktu yang ditetapkan ialah mulai pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

“Untuk makluman, pakaian bagi orang Islam ialah berbaju Melayu hitam, bersampin hitam kain kosong dan bersongkok dengan lilitan putih manakala bagi pe­rempuan pula berbaju kurung dan berselendang hitam.

“Bagi bukan Islam, pakaian yang ditetapkan ialah 'lounge suit' hitam dengan lilitan hitam di se­belah tangan kanan,’’ katanya.

Baginda yang memakai gelaran Tengku Ampuan Tua Terengganu dilahirkan pada 13 April 1928 di Singapura dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Telok Kurau dan Convent Katong, Singapura.

Almarhum dianugerahkan Grand Order of the Mugunghwa oleh Presiden Republik Korea pada 7 Februari 1966 dan turut dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara pada 6 April 1966. 



0 comments:

share2