Kota Bharu - Seorang lelaki warganegara Myanmar mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh sebuah rumah kedai di mahkamah majistret, di sini, semalam.
Mohammed Jek, 32, didakwa melakukan pecah rumah kedai milik Mohd Shafiq Aziz, 25, di Jalan Kuala Krai, di sini, antara jam 12.05 tengah malam hingga 6.30 pagi, 23 November lalu. Dia didakwa menceroboh dengan niat untuk mencuri duit syiling RM200 milik pengadu.
Sesuatu yang lucu dan pelik berlaku pada prosiding semalam apabila tertuduh mendakwa dia adalah jelmaan dari alam ghaib.
Katanya lagi, dia datang ke Malaysia sebagai individu yang ‘menghasilkan’ Quran serta mahu memperbetulkan kesilapan dakwaannya yang berlaku di dalam kitab berkenaan.
Majistret, Nik Habri Muhamad yang mendengarkan cerita aneh lelaki terbabit kemudian bertanya, “Kenapa kamu tidak menghilangkan diri (ghaib) ketika ditangkap pihak polis?”
“Cuba kamu buat (ghaib). Jangan ghaibkan saya sudahlah,” seloroh Nik Habri lagi. Tertuduh bagaimanapun hanya berdiam diri di kadang orang salah.
Susulan penafian tertuduh, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes.
Mahkamah kemudian menetapkan kes akan didengar semula pada 8 Januari depan.
Sementara itu, tertuduh akan berada di dalam tahanan kerana tidak dibenarkan jamin berikutan bukan warganegara ini.
Tertuduh pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian.
0 comments:
Post a Comment