Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 10, 2014

PEMUDA MAUT DIPUKUL KERANA MENGENDAP


KEMAMAN - Seorang pemuda maut setelah dipukul sekumpulan lelaki kerana dipercayai bertindak mengintai salah seorang isteri suspek dalam kejadian di Kampung Bujar, Air Jernih, di sini Ahad lepas (30 November 2014).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, berang dengan tindakan itu, suami wanita berkenaan bersama empat lagi rakannya memerangkap mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu.

"Mangsa ketika itu dipercayai leka mengintai isteri suspek yang berusia 20-an menerusi tingkap jeriji (tingkap nako) di sebuah rumah yang terletak di satu kawasan yang dikelilingi tanaman kelapa sawit.

Geram dengan tindakan berulang itu, mereka menangkap mangsa dan dipercayai memukul lelaki itu sehingga pengsan sebelum membuat keputusan untuk menghantarnya ke Pusat Kesihatan Kemasik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Wan Abdul Aziz, akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada, tangan dan dahi serta pendarahan di hidung dan telinga akibat dipukul.

Mangsa kemudian dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kemaman.

Wan Abdul Aziz berkata, bagaimanapun kira-kira pukul 12.01 tengah malam Isnin, pihaknya telah menerima maklumat daripada Hospital Kemaman tentang mayat seorang lelaki yang diterima di hospital itu.

Katanya susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menjejaki dan menahan kelima-lima suspek yang berusia antara 22 hingga 30 tahun di sekitar Kemaman pada hari yang sama.

Jelasnya kesemua suspek termasuk suami wanita berkenaan yang antaranya bekerja sebagai mekanik, jurukimpal dan pemandu lori ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.




0 comments:

share2