Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 22, 2014

PEMUDA CEDERA PARAH DITIKAM


Dungun - Seorang pemuda cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di Kampung Baru Kuala Abang, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu menyebabkan mangsa Mohd Zukeri Yaacob, 32, cedera di bahagian perut dan belakang badan selepas penyerang berkenaan menghayunkan lima tikaman yang gagal ditepis mangsa.

Menurut abangnya Rahim Yaacob, 46, ketika kejadian mereka berdua sedang mencari kambing peliharaannya yang hilang tidak jauh dari kawasan rumah mereka.

"Ketika itu salah seekor kambing saya telah masuk ke kawasan halaman rumah suspek dan adik saya terus menangkap kembali kambing tersebut untuk dibawa balik.

"Namun masa perjalanan pulang, tidak semena-mena suspek datang menyerang bertalu-talu adik saya dari arah belakang sebelum melarikan diri," katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang cedera kerana kehilangan darah yang banyak segera dikejarkan abangnya ke Hospital Dungun untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub yang mengesahkan kejadian itu berkata hasil maklumat awam pihaknya berjaya memberkas suspek yang berusia 29 tahun, kira-kira pukul 6.40 petang, hari yang sama di sekitar daerah itu.

"Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian ini dan kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

0 comments:

share2